Monday, March 26, 2012

Pergi tak kembali

~gambar hiasan~

"Kak ayu, pak su dh x de pkul 9.55 tadi". Kerana perbezaan masa, saya menerima mesej ini jam 12 tengah malam waktu sini. Kerana sudah tidur, pagi esoknya (25 Mac 2012) baru baca mesej tersebut. Terus cuba call umi, ayah dan adik-adik, tapi semuanya tak jawab telefon. Rupanya waktu tu baru jam 4 di Malaysia dan umi baru terlelap.

Menerima berita sebegini dari kejauhan bukan mudah. Bagi ahli keluarga yang berada di Malaysia, yang bekerja di KL pun sempat balik dan berjumpa dengan arwah sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir. Sekurang-kurangnya sempat memohon maaf secara lisan dengannya kalau ada salah dan silap. Sekurang-kurangnya sempat untuk membacakan yassin menenangkan arwah yang sedang tenat. Dan kalaupun mereka ingin menitiskan air mata dan bersedih sekali pun, sekurang-kurangnya mereka 'in the mood'. Tapi untuk orang yang jauh ni, hanya mampu menyampaikan ucapan mohon maaf melalui corong telefon. Hanya mampu membacakan yassin dan mendoakan arwah dari kejauhan beribu batu. Dan paling sedih bila perlu tertawa dalam sendu. People surrounds me not in the mood. Its not easy to face this all alone. Mungkin dalam tempoh tertentu ini, saya akan menjadi seperti 'orang kurang siuman', kadang-kadang tertawa, kadang-kadang menangis sendirian. Bukan mudah untuk menerima hakikat orang yang kita sayang pergi tak kembali lagi. Dan tak sempat pun nak tengok dia saat-saat terakhirnya. Dan bila balik Malaysia nanti, salah seorang yang menjadi kekuatan saya dah tak ada. Tak dapat lagi nak salam tangan pak su.


Tak mampu tahan air mata bila teringat kenangan dengan arwah. Saya adalah anak sulung daripada kakak sulungnya. Dengan kata lain, saya anak saudara kandungnya yang pertama. Dan arwah adalah adik bongsu umi. Pastinya dia banyak bermainan dengan saya waktu kecik dulu. Entah-entah arwah paksu pernah je tukarkan lampin saya kecik-kecik dulu. Kecik-kecik dulu selalu juga naik motor dengannya. Paksu mungkin biasa sahaja pada mata umum. Nampak macam tak ada 'bergunanya'. Tapi saya tahu dia baik. Umi pernah ceritakan kebaikannya yang orang tak tahu. Dan pada saya itulah orang baik, yang mana orang lain tak tahu pun kebaikannya.

Bila kita berada jauh dari keluarga, hal-hal seperti inilah yang kita perlu bersedia. Mendengar cerita hanya melalui telefon tak sama dengan mereka yang berada di tempat kejadian. Semakin takut untuk meniti hari-hari dalam kehidupan. Semakin kita dewasa, semakin banyak yang Allah akan uji. Tahun lepas dengan gedebak-gedebuk yang macam-macam, tahun ini jugak sepertinya gedebak gedebuk yang lain pula. Kalau bukan kerana secebis iman yang senipis kulit bawang ini, saya dah alami 'tekanan emosi tahap 3' kot.

Kalau tahun lepas saya diuji sampai tersungkur sedar, Allah Maha Berkuasa, takdirNya mengatasi segala tadbir manusia, usaha manusia itu tak menentukan hasilnya pun, usaha itu kerja kita, hasil itu urusanNya. Jangan pernah menganggap hasil itu adalah kerana usaha kita. Tak! Silap besar di situ.

Tahun ini saya semakin sedar, mati itu pasti. Dunia ini hanya tempat persinggahan dan senda gurau sahaja. Tiada yang akan kekal. Syurga atau neraka itu yang menjadi tempat tinggal untuk selamanya. Dan kenapa kita masih nak berlengah-lengah dan acuh tak acuh untuk persiapan akhirat? Sedikit demi sedikit 'dunia' itu ditarik pergi dari diri. Sedih, memang sedih dengan setiap yang berlaku dalam hidup ini, tapi bila difikir dengan neraca Allah, semuanya bersebab dan ada hikmahnya. Dia sedang tarbiyah diri supaya jangan taksub dan kejar dunia sangat. Dengan kata lain, Allah sedang tolong diri untuk 'detach' dari dunia yang fana.

Dan macam mana untuk tidak terlampau bersedih dengan apa yang takdirkan dan pada masa yang sama dapat 'recover' dengan cepat supaya rational dan dapat mencari hikmahnya?

Dekatkan diri denganNya! Selalulah hubungiNya! Dan berusahalah untuk menjadi orang yang bertakwa!

Dan sekarang saya berharap sangat saya mendapat penghujung yang baik, mati dalam iman, dapat buat sebanyak mungkin kebaikan di dunia dan dapat kumpul sahamnya di akhirat supaya saya layak masuk syurga dan jumpa paksu di sana, dan hidup bersama ahli keluarga yang lain jugak, pastinya, InsyaAllah.


Kepada sahabat yang membaca ini, sedekahkan Al Fatihah kepada arwah yang telah dikebumikan petang semalam (lepas Zohor waktu Malaysia).




ps: buat sahabat yang mengenali diri, ada baiknya kalian tidak diberitahu dan tidak bertanya banyak. lebih rela orang tak memahami sebab tak tahu daripada tak memahami setelah diberitahu






8:56am, 26 Mac 2012,
BSL, Brisbane


0 comments:

Post a Comment

Komen anda..