Sunday, March 11, 2012

Hatiku Cair

Izinkan saya untuk berkongsi kisah tentang jiwa yang suci, yang mampu menyebabkan pengaliran air mata.

Di bawah merupakan salah satu post dari blog Ustazah Siti Khadijah. Terima kasih Kak Zuraini yang menjadi pengantara petunjuk Allah kepada saya dengan memberikan link blog ini. Dan pastinya Terima Kasih Ya Allah!


Akhlak Terpuji Pelajar Corot Menyentuh Hati


05 & 06 Rabi’ul Akhir 1433 H (27 & 28 Feb 2012)


Barangkali kalian masih ingat akan entri yang bertajuk ‘Pelajar 5 Omar Tidak Tahu Membaca Dapat Menghafal Dengan Lancar’ yang pernah saya paparkan di blog sebelum ini (boleh baca di sini). Untuk entri kali ini, saya akan menceritakan lagi kisah pelajar tersebut datang belajar mengeja dan membaca Jawi setelah terdorong dengan pujian sebelum ini di bilik guru.



Hadi nama pelajar tersebut. Seindah namanya yang membawa erti petunjuk, Hadi datang ke bilik guru (sudah masuk tiga kali) bukan seorang diri. Dia turut menarik sahabatnya yang seorang lagi bernama Ali, yang juga tidak tahu membaca Jawi. Katanya ketika kali pertama bertemu saya di meja guru, “Ustazah, Ali ini juga tidak tahu membaca Jawi. Boleh saya ajak dia belajar bersama?”


“Boleh, Hadi. Kamu memang patut membantu Ali supaya dia pandai Jawi. Ustazah kagum dengan sikap kamu yang prihatin dengan kawan-kawan. Tentu Allah akan melimpahkan rahmat-Nya ke atas kamu, kerana kamu telah membantu Ali untuk pandai Jawi. Ustazah sangat yakin, kamu akan dapat membaca Jawi dengan baik dengan pertolongan Allah yang turun ke atas kamu. Kebaikan hati kamu mengajak Ali belajar jawi akan ditulis malaikat sebagai satu kebaikan untuk hari ini.”


Ali bersama Hadi ketika kali pertama belajar Jawi di bilik guru


Hadi tersenyum bahagia mendengar kata-kata saya. Senyumnya lebar, kalau diukur mungkin boleh sampai ke telinga. Kali pertama kehadirannya di bilik guru, dia kelihatan kekok. Apabila saya menyuruhnya membaca petikan teks Jawi di dalam buku tahun lima, dia masih kelihatan takut-takut. Suaranya begitu perlahan sekali. Permulaan bacaan juga dia mahu membaca bersama Ali.


“Boleh saya baca dengan Ali Ustazah?” Tanya Hadi kepada saya.
“Boleh, tetapi selepas Ustazah mendengar bacaan kamu dahulu ya?” Kelat wajahnya mendengar jawapan saya.




“Hadi, bukan Ustazah tidak mahu benarkan kamu membaca bersama Ali, tetapi Ustazah ingin mendengar bacaan kamu terlebih dahulu bagi memastikan tahap penguasaan Jawi kamu. Dengan itu, Ustazah akan mudah dan dapat membantu kamu." Hadi mengangguk. Dia memulakan bacaan perenggan pertama teks Jawi. Baru beberapa ayat dibaca, dia berhenti. Lama dia diam. Saya memandang wajahnya.




“Boleh baca lagi?”
“Tidak boleh, Ustazah. Saya tidak tahu macam mana nak baca.”
Saya senyum semanis mungkin. Tidak mengapa, kamu berhenti dahulu. Ustazah mahu dengar Ali pula yang baca.


Ali yang tersengeh-sengeh dari tadi memandang saya bertanya, “Saya kena baca seorang jugakah Ustazah?”


“Ya, silakan membacanya.”


Ali membaca laju sedikit daripada Hadi. Saya hairan, bagaimana Hadi boleh mengatakan Ali tidak tahu membaca, sedangkan bacaannya baik sekali (laju pula tu).


“Bagus, lajunya kamu baca.”


“Saya tulis apa yang Hadi baca tadi dalam tulisan Rumi. Itu yang boleh baca.” Jawabnya.


“Patutlah.” Senyum saya mendengar jawapan Ali.


“Baiklah, teruskan baca untuk ayat seterusnya.”


Ali cuba membaca untuk ayat berikutnya, tetapi tergagap-gagap. Akhirnya dia berhenti, diam juga seperti Hadi.


Saya menoleh buku Jawi Ali. Ayat seterusnya di dalam buku tersebut tidak mempunyai dwi tulisan seperti ayat sebelumnya. ‘Patutlah senyap.’ Saya senyum melindungi tawa yang hampir pecah.


“Boleh baca lagi?”
“Saya tak tahu Ustazah.” Ali menggeleng-geleng kepalanya.
“Baiklah. Boleh Ustazah tahu, apakah kamu boleh mengeja atau tidak?”
“Boleh.” Jawab Hadi dan Ali hampir serentak.


“Bagus, Ustazah suka kamu berdua boleh mengeja. Dengan mengeja, kamu akan pandai membaca Jawi.” Hadi dan Ali memandang saya dalam senyum-senyum yang tidak berapa nak nampak.


“Ustazah mahu Hadi dulu baca perenggan ini.”


Hadi mula membaca perengggan yang sama seperti sebelum ini. Sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti tadi, dia diam lagi.


Saya senyum memandang Hadi sambil berkata, “Baiklah, mari kita eja sama-sama perkataan ini.”


Hadi mula mengeja, ada ejaannya yang salah dieja dan bunyi. Saya membetulkan. Sebaik selesai sepatah perkataan, sepatah lagi hinggalah selesai perenggan pertama.


“Sekarang Ustazah nak kamu baca semula, boleh?” Hadi hanya mengangguk. Sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti (sebelum mengeja tadi), dia diam lagi. Kali ini dia mula mengeja sendiri. Sayangnya, ejaannya berlainan bunyi dengan ejaan ketika mengeja bersama saya. =)


Saya memikir-mikir, bagaimanakah cara pantas mereka dapat dibantu supaya boleh membaca Jawi. Syukur alhamdulillah, ketika itu juga saya teringat bagaimana tips yang pernah diajarkan seorang sahabat ketika bergelar mahasiswi dahulu.


Jika Hadi dan Ali tidak pandai Jawi, saya pula ketika berada di tahun pertama universiti tidak pandai Bahasa Arab. Melalui seorang sahabat yang ikhlas, saya dibimbing agar membaca buku-buku dan ayat-ayat Bahasa Arab berulangkali kali. Kemudian mencari makna perkataan yang tidak difahami di dalam kamus. Setelah bertemu makna yang dicari, beliau menasihati saya supaya menulis di atas atau bawah perkataan yang tidak difahami. Hal ini apabila dilakukan berulangkali (tulis makna), lama-kelamaan akan membuatkan kita memahami makna yang dicari.


Saya ubah sedikit tips yang pernah digunakan dahulu mengikut kesesuaian kanak-kanak seusia Hadi dan Ali. Akhirnya saya berkata, “Hadi, Ali, setiap kali kamu tidak boleh membaca satu-satu perkataan, kamu harus eja mengikut bunyi yang betul. Kemudian, gabungkan bunyi perkataan yang kamu eja tadi, barulah ia akan mempunyai makna yang lengkap. Apabila sudah tahu bunyi setiap perkataan yang dieja, kamu tuliskan dalam ejaan Rumi di sebelah atas atau bawah perkataan yang dieja tadi. Lama-kelamaan, kamu akan tahu dan dapat membaca Jawi dengan mudah.” Hadi dan Ali mengangguk kepala mendengar kata-kata saya.


“Mari kita mula semula. Hadi baca semula dari ayat yang pertama.” Saya mengarahkan Hadi memulakan bacaan Jawi sekali lagi.


Melayan karenah pelajar memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Tambah-tambah apabila berhadapan dengan pelajar corot. Kalau tidak sabar, tentu saja akan terhambur kata-kata, “Kamu ini macam mana? Tadikan saya sudah ajar, tidak faham-faham lagi? Kamu buat apa masa saya mengajar? Tidur? Susah sangat nak faham.”


Bayangkanlah sekiranya saya tidak mengetahui teknik Nabi ini, dan menutur kata-kata tadi memarahi Hadi dan Ali. Tentu Hadi dan Ali tidak akan datang belajar lagi selepas ini. Nau’uzu billahi min zalik.


Berbalik semula kepada kisah Hadi dan Ali. Hadi membaca perenggan Jawi tersebut sekali lagi. Kali ini masih seperti tadi, sampai sahaja pada perkataan yang dia berhenti sebelum ini, dia mengeja lagi. Apabila ejaannya bunyi lain daripada yang sepatutnya, saya membetulkan sehingga tergabunglah bunyi-bunyi ejaan tersebut menjadi perkataan. Kali ini, Hadi mula menulis di buku teks Jawinya perkataan tersebut dalam tulisan rumi. Setiap kali dia mengeja dan menulis perkataan-perkataan yang dieja, saya memujinya.


“Bagus, Hadi. Ustazah suka sikap kamu yang mendengar arahan dengan baik. Apabila kamu ikut cakap Ustazah, menulis perkataan yang dieja seperti ini (sambil menunjuk perkataan yang ditulis di dalam buku teks Hadi), Ustazah yakin kamu akan dapat membaca Jawi tidak lama lagi. Kamu tentu akan dapat menjawab soalan UPKK dengan baik nanti.” Hadi tersenyum suka mendengar pujian saya. Dia mengulang eja dan baca lagi ayat-ayat berikutnya hingga selesai satu perenggan.


Apabila saya mengarahkan dia membaca semula ayat-ayat di dalam perenggan yang telah dieja dan ditulis ejaan tersebut dalam tulisan rumi, dia dapat membaca dengan lancar sekali. Saya memuji lagi, “Bagus, Ustazah kagum dengan bacaan kamu, sudah semakin lancar. Ustazah yakin, kamu akan dapat membaca Jawi dan Bahasa Arab pula selepas ini." Selesai giliran Hadi, Ali pula disuruh membaca sambil mengeja bersama saya.


“Saya baca perenggan pertama ya Ustazah?”


“Kamu baca perenggan kedua.”


Ali menurut kata, tidak sampai tiga perkataan, dia berhenti. Saya ulangi lagi pesanan yang sama seperti mengajar Hadi tadi. Ali menurut seperti Hadi. Saya juga turut memuji Ali seperti pujian ke atas Hadi tadi. Kelas Jawi petang itu ditamatkan dengan bacaan perenggan terakhir Hadi bersama Ali. Mereka berjaya membaca keseluruhan petikan, syukur pada Allah. Peristiwa itu berlaku hampir tiga kali. Hadi dan Ali sentiasa bersama datang ke bilik guru belajar Jawi.


Hadi tidak hadir hari ini, Ali belajar Jawi sendiri


Tadi (01 Mac 2012), tidak seperti sebelum ini. Ali hadir belajar Jawi di bilik guru tidak seperti biasa bersama Hadi. Hari ini dia seorang diri. Datangnya awal daripada hari-hari belajar Jawi sebelum ini. Katanya ketika bertemu saya tadi, “Hari ini, Hadi tidak datang, Ustazah. Bolehkah saya belajar seorang diri?”
“Boleh, anakku. Tetapi kamu tidak pergi rehatkah? Awal kamu datang belajar hari ini.”


“Tidak, Ustazah. Saya memang biasa tidak pergi rehat apabila Hadi tiada.” Jawab Ali jujur sekali.


Belum pun sempat saya melanjutkan pertanyaan, Ali menyambung lagi, “Biasanya saya temankan kawan saja rehat. Saya tidak ada duit nak makan.” Kelu lidah saya mendengar kata-kata Ali.


Inilah Hadi, pelajar yang memiliki akhlak terpuji
Fahamlah saya mengapa Ali sentiasa bersama Hadi, dan mengapa Hadi amat menginginkan Ali belajar Jawi bersamanya. Allah berikan budi pekerti luhur dalam diri pelajar corot yang bernama Hadi untuk Ali menumpang rezeki. Sungguh Hadi dan Ali adalah cerminan akhlak terpuji yang saya temui dalam mendorong pelajar corot menggunakan teknik Nabi.


Saya segera meraba beg tangan. Syukurlah ada satu bar coklat pemberian suami malam tadi. Lalu, saya berikan kepada Ali. Allah sahaja tahu betapa gembiranya Ali menerima coklat kacang Hazel Vochelle sebagai pengganti rezeki waktu rehatnya bersama Hadi. Saya tidak dapat menahan air mata. Ternyata dua pelajar corot yang belajar Jawi bersama saya ini, miliki keistimewaan luar biasa dalam menjalin persahabatan suci.


Allah berkati dirimu, wahai anakku! Terima kasih kerana mengajar gurumu ini indahnya akhlak yang mencontohi pekerti Nabi. (T_T)


Ustazah Siti Khadijah


************************************

Ketahuilah tersangat ramai lagi 'Hadi' dan 'Ali' di luar sana. Mereka yang hidup dengan penuh kesusahan. Berasal dari keluarga yang serba kekurangan. Tercorot pulak tu di dalam kelas. Tidak menjadi murid kesayangan mana-mana cikgu. Dipandang seperti 'melukut di tepi gantang' oleh masyarakat. Tapi sebenarnya mereka lah yang memiliki jiwa murni sesuci putih salju. Mereka 'bersih'. Mereka ikhlas. Mereka jujur. Mereka menenangkan.

Setiap dari kita akan dapat hidden values cerita ini berdasarkan background masing-masing. Dan background saya yang berasal dari kampung ini membuatkan saya sangat tersentuh dan terkesan dengan kisah sebegini. I feel alive dengan orang-orang seperti Ali dan Hadi kerana itu adalah background saya.  And I'm exhausted with E.coli and Streptococcus. Seriously. To know yes, but not to live with.


Saya tak tahu dan tak kisah sangat apa pekerjaan yang akan saya lakukan bila balik Malaysia nanti. Tapi saya tahu apa yang saya nak buat dan usahakan kerana ketenangan dan kebahagian saya di situ.

Betullah kata Syar, Allah bagi kilat tu supaya kita nampak harapan-harapan lain.


Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.






11 Mac 2012, 10:33am
Brisbane


2 comments:

  1. what an amazing story...masyaallah...jzkk ukht atas perkongsian..:)

    ReplyDelete
  2. Salam Ayu..

    ni ada lagi 2 blog yg akak ikuti,

    1 - http://khairulaniza.blogspot.com
    2 - http://www.ustazah-engineer.blogspot.com

    insya Allah pasti ada lagi blog2 yang lain di masa akan datang, mereka para pendidik yang mengamalkan teknik Rasulullah SAW. Sesungguhnya Rasulullah SAW contoh tauladan terbaik dari segenap sudut kehidupan.

    Akak juga pernah berada di tempat Hadi & Ali, dan sampai satu peringkat semasa di darjah 5 (zaman akak) selepas peperiksaan penilaian, sewaktu menyemak jawapan bersama guru, untuk subjek Matematik, akak cuma salah 1 sahaja tetapi guru berkenaan seolah-olah tidak percaya kerana katanya pelajar kelas A pun salah paling kurang 2. Dan masa keputusan keluar, untuk Matematik akak dapat A, masa itu akak berfikir macam mana nak dapatkan peratusan markah untuk subjek itu untuk akak buktikan pada guru berkenaan. Menjadi satu kesalahan ke pelajar kelas D mendapat kejayaan yang sana seperti pelajar kelas A? Apa pun akak bersyukur, kerana sikap guru itu telah menaikkan semangat akak.

    Dan kerana pengalaman itulah akak seberapa boleh sentiasa mencari dan terus mencari apa-apa blog yang boleh dikongsi kerana untuk buat blog sendiri akak tidak mampu. Terutamanya yang melibatkan anak-anak kecil walaupun akak sendiri belum memilikinya tetapi akak punyai anak-anak saudara yang sedang meningkat remaja.

    Semoga usaha akak yang sekecil ini diberkati Allah SWT., ibsya Allah.

    ReplyDelete

Komen anda..