Friday, January 28, 2011

Alangkah Baiknya.......


Ada seorang lelaki yang sedang nazak. Dia mengungkapkan beberapa perkataan yang sukar untuk difahami orang lain. Katanya, "Alangkah baiknya kalau semua, alangkah baiknya kalau baru, dan alangkah baiknya kalau banyak". Sahabatnya tidak memahami maksud kata-kata itu, lantas bertanya pada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:

Yang pertama, semasa sihatnya lelaki ini pernah menyedekahkan separuh dari roti yang dimakan kepada pengemis yang datang ke rumahnya dengan ikhlas. Kerana separuh roti itu, Allah tunjukkan kepadanya ganjaran yang bakal menunggu di syurga. Jadi, dia berkata, "Alangkah baiknya jika semua".

Yang kedua, lelaki ini berjalan di satu lorong dan bertemu dengan seorang tua yang kesejukan. Lantas dia memberikan bajunya yang tidak berapa baru kepada orang tua itu dengan ikhlas. Allah telah menjanjikan ganjaran yang baik padanya di syurga kerana sedekah itu. Kerana itulah dia mengatakan, "Alangkah baiknya kalau baru".

Yang terakhir, sabda Rasulullah SAW, lelaki ini pergi ke masjid. Dalam perjalanannya, di hadapannya ada seorang lelaki tua yang lambat pergerakannya. Lelaki ini tidak memintas sebaliknya memimpin tangan orang tua ini ke masjid dan mengajaknya bersembahyang. Malangnya lelaki tua itu Yahudi. Lalu lelaki ini menghantar orang tua ini ke rumahnya. Satu tangan yang dipimpin kerana Allah akan mendapat ganjaran di syurga. Sebab itulah lelaki itu berkata, " Alangkah baiknya jika banyak".


Apa agak-agaknya ibrah (pengajaran) dari kisah ringkas ini?


Sudah semesti moralnya adalah:

Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan, kerjakan dengan ikhlas. Dengan itu, InsyaAllah kita bukan sahaja akan dimuliakan di dunia tapi juga di akhirat. Tetapi jika apa yang dilakukan itu hanya untuk mendapat pujian, di dunia sahaja kita merasainya.


Sebelum itu, apa sebenarnya maksud ikhlas ini? *recall jap*

Ikhlas bermaksud suci dan murni serta tidak bercampur dengan yang lain. Maksudnya, mengerjakan ibadah dan kebajikan hanya kerana Allah SWT serta mengharapkan keredhaan Allah dan bukan untuk mendapat pujian, kemasyhuran atau gelaran.


"Tulis senang ar, nak buat nya susah. Macam la yang menulis ni boleh ikhlas sebagaimana yang didefinisikan tu"

Memang susah pun. Dan definisi tu pun, sekali baca pun dah tahu, saya copy. Jangan risau, apa yang sahabat fikirkan tadi tu betul. Memang saya copy je. Tapi memang betul pun kan itu adalah definisi 'ikhlas'.

Cuba baca balik lagi sekali definisi ikhlas tu.

"..........HANYA kerana Allah SWT........"

Maksudnya, setiap kali kita nak buat sesuatu perkara yang baik, kita perlu betulkan niat dan ikhlaskan hati, "Aku buat ini semata-mata kerana Allah SWT".

BUKANNYA........

"Ok gak kalau aku tolong hantarkan mak cik ini ke rumahnya, tinggikan saham, untung-untung boleh jadi bakal menantu." *maklumla tengah mencari*

"Tak apalah keluarkan sikit duit, belanja En. XYZ, mana tahu kalau-kalau ada projek baru, dia bagi dekat aku".

"Luangkanlah masa sikit tolong adik-adik junior baru daftar ni, sebagai bukti aku buat kerja."

"Bagi la sikit kek ni dekat si AaBb, mana tahu bila dia masak-masak nanti dia bagi dekat aku jugak."

Di atas adalah antara contoh-contoh perbuatan tidak ikhlas kerana Allah SWT yang direka oleh saya, tiada kena mengena dengan mana-mana jiwa. Sia-sia kan perbuatan yang tidak ikhlas ini. Jadinya, kita perlulah ikhlas. Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT sahaja, tiada sebab lain.

Tapi realitinya, macam 'kelakar' la jugak kan setiap kali nak buat sesuatu pekerjaan yang baik, nak kena betulkan niat dan cakap dalam hati, "Aku buat ini kerana Allah semata-mata".

Bukan 'kelakar' sebenarnya, tapi malas dan tak terbuat. 'Bajet' diri baik, hati suci murni jadinya beranggapan bahawa niat kerana Allah itu akan hadir dengan sendirinya. Mungkin ada individu soleh solehah macam tu, niat ikhlas itu hadir dengan sendirinya, tapi tak semua kan? Saya antaranya, yang tak memiliki diri baik dan hati suci murni itu. Jadi mustahil niat kerana Allah itu hadir dengan sendirinya. Sebab itu kena selalu betulkan niat dan setiap kali nak buat sesuatu, kena cakap kat diri, "Aku buat ini kerana Allah SWT semata-mata".

Jom! 'Usha' contoh-contoh amal ibadat yang tidak bersandarkan keikhlasan sebaliknya ada tujuan sampingan. Mana tahu, ada antaranya yang kita pernah terbuat, InsyaAllah lepas ini boleh perbaiki.

  • Orang yang bersedekah tetapi tujuannya hanya untuk mendapat pujian supaya dikatakan dia seorang yang dermawan.
  • Orang yang menunaikan sembahyang bukan untuk menunaikan kewajipannya tetapi untuk menunjukkan dia seorang yang taat beribadat.
  • Orang yang berpuasa bukan kerana melaksanakan kewajipannya sahaja tetapi untuk menjimatkan perbelanjaannya seharian.
  • Orang yang berperang untuk mempertahankan negara tetapi juga mengharapkan pengiktirafan, pangkat dan darjat.
  • Orang yang pergi menunaikan haji untuk menunaikan rukun kelima tetapi terselit juga rasa bangga kerana dia mampu pergi haji dan boleh membawa balik pelbagai barang dagangan.
  • Orang yang menuntut ilmu bukan sahaja kerana kewajipannya tetapi untuk mendapat martabat dan kedudukan.


Mungkin ada yang macam terkena dekat batang hidung sendiri atau mungkin ada yang belum. Tapi InsyaAllah tak akan la kan. InsyaAllah.

Begitulah kita manusia yang cepat terleka dengan hasutan syaitan dan kalah dengan nafsu sendiri. Maklumla nafsu dan syaitan saling bekerjasama untuk menyesatkan manusia. Namun itulah mujahadah kita. Dan dari bermujahadah itulah kita akan mengumpul pahala, InsyaAllah.

Semoga bermanfaat!

Wednesday, January 26, 2011

Keluh Kesah

Hidup ini satu perjalanan tarbiyah (pelajaran). Tarbiyah yang mengajar kita untuk senyum, ketawa, sedih, kecewa, gundah gulana, resah gelisah. Lihatlah kehidupan ini dengan kaca mata seorang hamba (51:56) dan khalifah (2:30), dan kita akan mula mengerti erti sebenar tarbiyah itu.


Pernah tak sahabat merasai resah gelisah, keluh kesah? Mesti pernah bukan. Masakan tidak. Al-Quran sendiri mengiyakannya.


Maksudnya (70:19): Sungguh, manusia diciptakan dengan sikap suka mengeluh

Maksudnya (70:20): Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah.


Jadi, statement saya tadi betul la kan? Semua dari kita pernah merasai resah gelisah dan keluh kesah. Kerana kita DICIPTAKAN dengan perasaan itu.

Kita selalu berdoa, "Ya Allah, berikanlah ketenangan kepadaku".

Tapi ironinya, pada masa tertentu, resah gelisah dan keluh kesah yang kita terima bukan? Kenapa ye? Kerana Allah bagi apa yang kita perlukan bukan apa yang kita mahu. I know its sounds so cliche but most of the time we forgot about this, right?

Sebagaimana kita ke kelas setiap hari belajar dan menuntut ilmu dan pada penghujung semester atau penghujung tahun kita akan menduduki peperiksaan. Sebegitulah juga perjalanan tarbiyah kehidupan ini. Kita akan diuji, bila tiba masanya:



Maksudnya (2:155): Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,

Semua orang tak suka ujian. Tiada siapa yang ternanti-nanti datangnya perasaan resah gelisah dan keluh kesah. Tapi bila perasaan itu menjenguk kamar hati dan ujian dariNya datang bertandang, bertenang dan bersabarlah. Cuba fikir dari mana datangnya ujian perasaan resah gelisah itu. Dari Pencipta kita kan? Dan bila kita tahu dan sedar bahawa ujian dariNya itu adalah tanda sayangnya Allah pada kita, senyumlah. Senyumlah kerana kita masih disayangiNya. (^_________^)

Hadapilah perasaan keluh kesah itu secara positif. Jangan terlampau difikirkan sangat. Jangan dilayan sangat perasaan keluh kesah itu kerana ianya sedikit sebanyak membentuk diri kita menjadi negatif. Bak kata bijak pandai, "jangan perangi stress, tapi fokuslah pada keinginan mahu merasai kegembiraan. jangan perangi penyakit tapi fokuslah pada keinginan mahu menikmati hidup yang sihat dan cergas. jangan fikirkan cakapan buruk orang terhadap kita tapi fokuslah pada keinginan mahu memajukn diri lebih dari tahap kemajuan yang telah dicapai sebelumnya."

Kalam Allah juga ada mengajar kita bagaimana untuk menghadapi perasaan resah gelisah ini.

Maksudnya (8:45): Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan(musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa) agar kamu beruntung.

*BERZIKIR DAN BERDOA*

Dan bertawakal kepadaNya, percaya dan berimanlah kepadaNya, Dia yang akan hilangkan ujian itu dari kita


Maksudnya (6:17): Dan jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu, tidak ada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia MahaKuasa atas segala sesuatu.


*Jom! Belajar untuk berdepan keluh kesah dengan senyuman*

Monday, January 24, 2011

9 Idaman, Jauhi 6

Siti Khadijah

Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yang setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kepada Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira’.

Siti Fatimah

Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali.

Siti A’ishah

Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

Siti Hajar

Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

Siti Mariam

Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

Siti Asiah

Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.

Siti Aminah

Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

Siti Muti’ah

Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik untuk tatapan suaminya sahaja.

Siti Zubaidah


Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.



9 Siti ini adalah petikan daripada kata-kata Ustazah Siti Norbahiah Mahmud dalam rancangan Halaqah TV9 bertajuk ‘Siti Impian’. *Saya copy dari chain notes kat FB*

Mana-mana sahabat yang namanya bermula dengan Siti mesti tersenyum simpul membaca Siti Idaman ini kan? (^_____________^)

Untuk renungan bersama samada bagi yang bernama Siti mahupun tidak, adakah kita tergolong antara Siti-Siti ini? Teringin kan ingin menjadi sehebat mereka? Tepuk dada tanya iman. Kerana itu, bersama-samalah kita tingkatkan ilmu kita untuk menjadi insan yang lebih baik di Bumi Allah ini, insyaAllah.

Suka untuk saya turut menyelitkan tentang 6 ciri tak baik wanita. Sekadar selingan untuk sambung renungan.

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam; yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah." - Imam Al-Ghazali


Wanita Ananah:

Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.

Wanita Mananah:

Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti; "Aku membuat itu keranamu"

Wanita Hananah:

Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah:

Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:

1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah:

Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha (sia-sia) dan lagi membisingkan.


Jadi sekarang, pilihan di tangan kita. Sebagaimana yang tertulis di atas 'kertas putih' sebelah kanan TZ, hidup ini hanya ada dua jalan. Tiada jalan tengah. Pilih satu jalan yang terbaik. Ingatlah ini, "When you make intentions, Allah will open the doors for you". Jom! Sama-sama betulkan niat dan generalkan dan tambahkan lagi banyak niat-niat baik, moga-moga Allah akan bukakkan jalan untuk merealisasikan niat-niat dan impian-impian itu, InsyaAllah dengan izinNya.



Sumber 6 ciri tak baik wanita di
iLuvislam di sini

Saturday, January 22, 2011

Cinta Salman al-Farisi

Sahabat pernah baca atau mendengar kisah Islamnya Salman Al-Farisi? Kisah pengembaraan Salman Al-Farisidari satu tempat ke satu tempat untuk mencari agama yang benar, agama Islam. Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kebenaran tapi kita yang dah dilahirkan dalam agama Islam ini, sukar untuk menghargai nikmat tak ternilai ini. *Menginsafkan*

Jika ada di antara sahabat yang masih belum mengetahui Kisah Islamnya Salman Al-Farisi atau ingin baca lagi sekali, boleh klik. Kisah Islamnya sangat hebat. Bacalah!

Sebagaimana hebatnya kisah pengembaraan Salman Al-Farisi mencari Islam, agama yang benar, begitulah juga kisah cinta Salman Al-Farisi.

*cari mode cinta*

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama. Dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi... penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah... alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.


“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua.. sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

Subhanallah... jelaslah wanita solehah itu hanya memilih Abu Darda’ sebagai pasangan hidupnya berbanding hajat asal datang daripada Salman al-Farisi. Bayangkan andai kita berada di posisi Salman al-Farisi, mungkin kita telah menyalahkan diri kerana telah tersilap membawa pendamping, teman bicara. Namun lain pula jawapan Salman al-Farisi;

“Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.


Itulah jawapannya... reaksinya telah melukiskan dia ialah seorang pencinta sejati... sejatinya dia bukan kerana dia sahabat nabi s.a.w yang utama tetapi rahmat kasih sayang Ilahi menemani sekeping hati kecil miliknya untuk terus MEMBERI.

Salman al-Farisi benar-benar mengajar kita sebagai seorang hamba kepada satu Tuhan yang berhak disembah tentang keutamaan dalam memberi, tidak menagih simpati untuk menerima. Dia hanya tahu satu pekerjaan besar lagi mulia sahaja, iaitu MEMBERI. Memberi tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimilki... tidak haloba dengan apa yang tiada.

Salman Al-Farisi yang sangat mulia darjatnya di sisi Rasulullah itupun diuji sedemikian hebat apabila pinangannya ditolak dan tambah mengejutkan lagi, teman baiknya yang dijadikan orang tengah itu yang menjadi pilihan si gadis solehah. Itulah bukti akhlak Islamiyyah yang terbaik kerana akhlak itu adalah reaksi pertama kita sebaik sahaja apabila diuji atau menerima sesuatu berita yang kurang menyenangkan. Jika kita sedikit terkilan dan rasa nak marah pada mulanya, dan kemudian barulah kita bersabar, itu bukanlah akhlak yang terbaik lagi. Tapi reaksi pertama yang hadir tanpa kita berfikir panjang itu adalah aras ukur tahap akhlak kita yang sebenarnya. Sebabnya reaksi itu hadir secara semulajadi dan yang semulajadi itulah akhlak kita yang sebenarnya.

Sahabat bagaimana?

Apakah reaksi sahabat andai berada di tempat Salman Al-Farisi? Masihkah mampu MEMBERI dengan senyuman ikhlas?





Kisah cinta Salman Al-Farisi saya ambil dari
blog puteraazhari ini.

*gambar sekadar hiasan, tidak menggambarkan watak dalam cerita*

Thursday, January 20, 2011

Direbus Kerana Cinta

Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan diganggu.

Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah "Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.

Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.

Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.


Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambil ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain. Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.

Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya, Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".

Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.

Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati. Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga.

Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia.


artikal asal dari juanghinggatitisan

Begitu hebat kisah cinta Masyitah. Walaupun pada masa itu mereka sekeluarga memeluk Islam dan hanya berpegang dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam. Sedangkan pada ketika itu, tiada lagi perintah mewajibkan solat 5 waktu sehari semalam. Tapi tahap keimanan mereka sangat tinggi. Hanya dengan keimanan di dalam hati sahaja, mereka memilih untuk direbus dalam minyak yang panas. Tiada gentar pun tapi hanya kerana kasihankan anak yang masih kecil, Masyitah sedikit termakan dengan hasutan syaitan. Tapi, Allah Yang Maha Berkuasa memberi kebolehan pada si anak kecil bercakap dan memberi semangat pada si ibu dan mereka berdua tidak ragu-ragu memilih jalan kebenaran menujuNya.

Cuba renungkan dan 'berangan' sejenak dengan kisah cinta kita.

*thinking mode*



Siapa setuju kalau saya cakap cinta kepada Illahi kita sebenarnya banyak dikalahkan oleh cinta kita kepada manusia? Betul bukan? Kerana itu, cintailah manusia yang mencintaiNya. Kita bukan sahaja akan mendapat cinta manusia itu tapi juga cintaNya, InsyaAllah... ^___^

Tuesday, January 18, 2011

Soal Niat


Post pertama untuk 2011. Dan saya ingin memulakan Tahun Masihi 2011 ini dengan soal asas.

Soal Niat.

Hadith 1 dari Hadith 40.

Dari Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar bin Khattab ra. berkata, Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda,

"Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang ia niatkan. Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan RasulNya, dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ia nikahi, maka ia akan mendapatkan apa yang dituju."


Berdasarkan beberapa pendapat, hadith ini merujuk kepada kisah lamaran seorang lelaki. Dan kerana ingin menikahi wanita tersebut, Umm Qais, lelaki ini berhijrah ke Madinah. Dan mereka bernikah di sana.

Jika itu niatnya, untuk bernikah, Ya! dia berjaya dapatkannya.

Tapi alangkah lebih baik jika niat hijrahnya itu untuk Allah dan RasulNya. Kan?

Bagaimana pula dengan soal niat kita?


Kadang-kadang kita terlupa soal niat kita. Sebab itu, kita selalu dinasihatkan dan sepatutnya saling menasihati sesama kita untuk membetulkan niat. Dan bila membetulkan niat itu, janganlah terlalu spesifikkan niat kita tu.

Sebagai contoh, kita ke kelas dengan niat untuk belajar, nak lulus exam dengan cemerlang dan nanti dapat peluang yang cerah untuk sambung ke peringkat yang seterusnya.

Betulkan niat. Kita ke kelas untuk mencari redha Allah dan jadikan urusan belajar itu juga satu ibadah dan dari amalan ibadah itu kita akan mendapat pahala.

Generalkan niat itu juga. Pohonlah agar sahabat akan sentiasa mendapat kebaikan lebih dari segulung ijazah (jika sahabat undergraduate) sepanjang urusan pengajian itu.

Tak salah untuk berniat untuk mendapat keputusan cemerlang pada exam final semester ini, sebab itu kita ke kelas setiap hari tanpa pernah ponteng sekali pun. Fokus dengan urusan belajar dan berdoa bersungguh-sungguh. Dengan izinNya, InsyaAllah, Allah akan bagi sebagaimana yang kita doakan, iaitu keputusan yang cemerlang. Tapi merugikan sekiranya kerana fokusnya niat kita itu, kita tak 'terpandang' peluang-peluang lain untuk mencari kebaikan sepanjang pengajian kita.


Dan mungkin juga Allah akan uji kita dengan keputusan yang kurang menggembirakan dan jika itu satu-satunya niat kita, kemungkinan besar kita akan sangat-sangat sedih. Normal. Semua orang pasti pernah merasai ini, kan? Tapi kalau kita niat untuk mendapatkan kebaikan, apa jua kebaikan dari usaha kita ke kelas setiap hari, apa jua kebaikan dari usaha kita dalam menyiapkan assignments, kita mungkin akan mendapat lebih dari itu. Siapa tahu, dalam usaha kita ke kelas setiap hari itu, kita beroleh kebaikan dari segi ukhuwah fillah. Kita dapat berkenalan dengan sahabat-sahabat yang baik dan dengan berkawan dengannya, kita menjadi lebih dekat dengan Allah. Bukan lagi menjadi pelajar Muslim tapi menjadi Muslim yang belajar. Dalam usaha menyiapkan assignments yang bertimbun contohnya, kita bukan sahaja mampu siapkan kesemua assignments dengan sebaik mungkin, tapi kita dapat juga belajar untuk membentuk diri menjadi lebih berdisiplin, tak mudah putus asa dan mempunyai tahap tawakal yang semakin tinggi kepada Allah.

Soal Niat di TZ

Saya ingin mulakan 2011 ini dengan soal niat di TZ kerana saya ingin membetulkan balik niat saya dalam urusan perkongsian ilmu di laman maya ini. Di sini, saya ingin dan akan teruskan berkongsi ilmu yang bermanfaat dalam apa jua topik. Tapi bukanlah dalam semua bidang topik kerana skop topik yang lebih saya minati adalah ilmu-ilmu rohani dan motivasi. Dalam masa yang sama, saya juga akan berkongsi pengalaman-pengalaman yang dirasakan berguna. Dan mungkin juga akan ada diari saya sendiri tapi saya harap ianya bermanfaat. Kerana itu, TZ ini juga merupakan nota tarbiyah saya.

Betulkan niat. Saya ingin berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan sahabat ukhuwah fillah di TZ.

Generalkan niat. Saya ingin mendapatkan sesuatu yang lebih dari berkongsi ilmu. Saya mengharapkan apa jua kebaikan yang boleh saya dapat melalui TZ. Ukhuwah fillah, walau mungkin ada yang tidak pernah bersua muka, tapi mempunyai fikrah yang sama dan bersahabat dengan ikhlas. Mendapat biaah solehah di alam maya dengan sahabat fillah TZ. Belajar untuk memperbaiki akhlak menjadi lebih baik daripada sahabat fillah TZ. Komen sahabat sangat berguna, walau sekadar pesanan, "jaga aurat" yang ditinggalkan di shoutbox. Akhir sekali, ingin mendapatkan apa-apa jua kebaikan yang boleh mendekatkan diri ini kepada Allah dan RasulNya.

Dan untuk sahabat fillah yang sudi singgah TZ, betulkan niat dan generalkan niat sahabat juga setiap kali memilih untuk klik ke sini. Dan juga dari sini ke mana-mana link yang lain. Moga sama-sama mendapat apa-apa jua kebaikan dari aktiviti klik-klik dan blogwalking ini, InsyaAllah.