Wednesday, August 17, 2011

Mutiara Ramadhan Di Sebalik Peperangan Badar

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. (Surah Aali-Imran ayat 123-125)



Badar Dalam Lipatan Sejarah

Perang Badar berlaku pada Hari Jumaat, dalam bulan Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah. Badar adalah nama bagi sebuah lembah diantara Madinah dan Mekah.  Peperangan ini melibatkan  tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1000 musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata.

Pada awalnya, tujuan utama tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW adalah untuk memintas pasukan Abu Sufyan bagi melumpuhkan bekalan musuh yang berpusat di Mekah. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 tentera musyrikin tertawan dan selebihnya melarikan diri. Di antara tawanan yang dibunuh oleh Rasulullah SAW ketika dalam perjalanan pulang ialah 'Uqbah bin Abu Mu'aith dan al-Nadr bin al-Harith. Mereka berdua adalah di kalangan puak musyrikin Mekah yang melakukan penghinaan yang dahsyat kepada Rasulullah SAW.

Mutiara Ramadhan Di Sebalik Peperangan Badar
Perang Badar adalah satu peperangan yang luar biasa dari logik akal manusia apabila tentera Islam beroleh kemenangan walaupun angka tentera Islam yang begitu sedikit jika dibandingkan dengan tentera musyrikin Mekah. Di sana terdapat 1001 pengajaran yang dapat dikutip bagi umat Islam khususnya sebagai pedoman dalam bulan Ramadhan.

1. Niat dan keazaman yang jelas.

Dalam perjalanan tentera Islam ke Badar, mereka berkhemah di kawasan lembah yang berdekatan dengan Madinah. Kawasan tersebut jauh dari bekalan air dan tanahnya pula kering dan keras. Tentera Islam pada ketika itu begitu dahaga. 

Syaitan mula menghasut dengan membisikkan pada hati-hati mereka, "Musyrikin akan melambat-lambatkan waktu pertempuran supaya kamu ditimpa dahaga dan kekuatan kamu menjadi lemah. Ketika itulah mereka akan lakukan apa sahaja yang disukai terhadap kamu"

Allah kemudiannya menurunkan hujan sehingga kawasan perkhemahan mereka mempunyai bekalan air yang mencukupi. Kolam dibuat untuk menyimpan air. Mereka mandi, berwudhu' dan memenuhkan bekas air yang dibawa. Tanah yang kering menjadi padat sehingga pijakan menjadi mantap. Firman Allah: 

"Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan)." )(Surah al-Anfal ayat 11)

Dalam menempuhi Ramadhan ini, adakalanya timbul bisikan-bisikan halus yang mendorong kita untuk melakukan kemaksiatan ataupun seakan melemahkan semangat kita utk meneruskan Ramadhan dengan penuh kesungguhan. 

Apa solusinya? Bukalah helaian-helaian al-Quran. Pasti ada kalam-kalamNya yang mampu mengubat keresahan kita. Lihat di sekeliling kita dan pasti kita akan mendapat jawapan dan ketenangan dariNya.

2. Kepentingan First Impression Pada Ramadhan
Dalam tidur Rasulullah, Baginda diperlihatkan oleh Allah akan sedikitnya bilangan tentera musuh. Ini adalah bagi tidak mematahkan semangat tentera Islam kerana gerunnya kepada bilangan sebenar tentera musuh yang ramai.


Hasil kajian pakar motivasi membuktikan, melalui first impression, ia akan mempengaruhi sekurang-kurangnya 3 perkara ke atas seseorang;
a. Kredibiliti
b. Disiplin
c. Keyakinan
Firman Allah:
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya; dan kalaulah Ia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. (Surah al-Anfal ayat 43-44)
Dalam kita meniti hari demi hari di dalam Ramadhan, aspek first impression kita pada Ramadhan itu amat penting. Jika dilihat puasa itu sekadar berlapar dan dahaga, itulah yang bakal kita peroleh di penghujungnya.Sabda Nabi SAW:
"Ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja." (Ibnu Majah)
Jika Ramadhan dilihat sebagai satu bulan yang terlalu banyak kelebihannya dan patut dimanfaatkan, itulah yang terbaik. Di dalamnya terdapat Lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain. Amat banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan Ramadhan, antaranya:
Sabda Rasulullah s.a.w. melalui hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.; “Solat lima waktu, jumaat ke jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan merupakan penghapus dosa di antaranya selama mana dijauhi dosa besar”. (Riwayat Imam Muslim)

1. Niat dan keazaman yang jelas 
2. First Impression pada Ramadhan

Kedua-dua perkara ini menentukan bagaimana kita di permulaan, pertengahan dan pengakhiran Ramadhan. Semoga kita berusaha memaknakan Ramadhan kali ini.


artikal asal dari sini

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..