Sunday, April 17, 2011

Penangan Ilmu Sihir

Makan tak kenyang. Mandi tak basah. Tidur tak lena, rasa terganggu. Kepala berdenyut-denyut. Hidup mula menyendiri tak cakap banyak. Kadang-kadang menangis sorang-sorang dalam bilik air. Kadang-kadang terlebih gembira, bergelak ketawa macam tak masuk akal. Kadang-kadang tu marah-marah orang tak tentu pasal bersama jelingan maut.


Itulah antara simptom terkena 'ilmu sihir'.

Oppsss! Bukan ilmu sihir yang melibatkan jin tu maksud saya. Tapi ini adalah ilmu sihir yang sedang kita belajar sekarang (bagi sahabat yang bergelar pelajar)iaitu ilmu akademik. Boleh rujuk pada Hadis Ghulam apa maksud ilmu sihir ni. Kalau pernah baca hadis ini, akan faham tapi kalau yang tak pernah lagi, boleh klik dan baca di sini.

Sekadar rumusan ringkas tentang hadis tersebut.

Hadis tersebut berkisah tentang ghulam (pemuda/remaja) yang terpilih untuk menjadi murid kepada seorang tukang sihir diraja. Tapi dalam tempoh ghulam tersebut belajar ilmu sihir, dia sempat curi-curi masa dan berhelah untuk pergi belajar ilmu agama dengan rahib. Dengan ilmu sihirnya itu, si ghulam mampu untuk mengubati orang yang buta. Dan si ghulam mengatakan bahawa Allah yang menyembuhkan pesakit itu bukan dirinya. Kata-katanya itu menyebabkan si ghulam tersebut dipanggil raja dan diberi cubaan bunuh dengan pelbagai cara tapi dengan izin Allah ghulam terselamat. Sampailah ghulam sendiri yang bagi cadangan pada raja cara untuk membunuhnya. Dengan izin Allah juga, ghulam meninggal walaupun hanya sekadar anak panah itu terkena sedikit sahaja di bawah telinganya. Tapi kematiannya itu telah berjaya mengimankan orang-orang yang melihat.

Terdapat banyak sangat pelajaran dari hadis ini.

Siapa ghulam? kenapa tidak dinyatakan namanya? kenapa dia berhelah? bolehkah berhelah dalam mencari ilmu agama? kenapa ghulam belajar dua-dua ilmu? apa kaitan ilmu sihir dan ilmu yang diajar rahib dengan ilmu-ilmu yang kita belajar sekarang? ilmu yang mana satu lagi penting? tak bolehkah pilih salah satu sahaja?

Merujuk pada tajuk entry, sangat jelas yang saya nak berbicara lebih tentang ilmu sihir.

Mula-mula sekali kita fahami dulu maksud di sebalik perkataan-perkataan ini:

1) ghulam – kita golongan remaja
2) ilmu sihir – macam ilmu duniawi yang kita pelajari seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, undang-undang, biotechnology dan lain-lain lagi
3) tukang sihir – macam pensyarah-pensyarah kita di universiti atau cikgu-cikgu di sekolah yang mengajar kita ilmu duniawi
4) ilmu yang dipelajari dari rahib – macam ilmu agama yang kita pelajari dalam majlis agama, di surau, di masjid, dalam usrah, atau dari guru-guru agama kita, ilmu yang benar..
5) rahib – macam ustaz atau ustazah, naqib dan naqibah

Itulah yang saya cuba sampaikan. Ilmu yang kita sedang belajar sekarang ini adalah ilmu sihir dan penangan ilmu sihir tu adalah kerana sekarang musim assigments tengah 'high' dan musim serangan examinitis. Dan simptom-simptom di atas adalah simptom serangan ilmu sihir ni.

Tapi sekarang kita nak tengok pengajaran yang kita boleh ambil dari hadis ghulam untuk berdepan dengan ilmu sihir ni.

Ghulam

Kenapa watak utama dalam hadis ini adalah ghulam iaitu pemuda atau remaja? Kenapa bukannya pak cik atau mak cik yang ada banyak pengalaman dalam hidup? Kenapa juga bukannya bayi yang masih suci bersih tanpa dosa? Tak lain dan tak bukan adalah kerana golongan remaja atau pemuda inilah yang merupakan golongan yang peling penting dalam menentu masa depan bangsa dan agama. Golongan yang paling berpengaruh untuk diubah dan berubah. Dan siapa itu ghulam? Kenapa tidak dinyatakan namanya? Supaya ianya tetap 'evergreen' untuk menyatakan yang kita semua adalah ghulam tersebut. Hadis ini applicable untuk setiap dari kita. Untuk setiap dari kita yang merupakan ghulam dalam era ini.

Ilmu sihir versus Ilmu Rahib (ilmu agama).

Kalau kita perhatikan kisah ghulam tersebut, si ghulam tidak memilih hanya salah satu ilmu sahaja. Tapi dia memilih kedua-duanya. Macam itu la juga kita. Perlu terus bersemangat untuk terus berjaya dalam mencari segulung ijazah (ilmu sihir) dan pada masa yang sama bijak mencari peluang untuk terus istiqamah dalam mencari ilmu agama. Jangan jadikan alasan sibuk dengan ilmu sihir, kita tiada masa untuk mencari ilmu agama. Janganlah kerana terlalu mengejar ilmu sihir tu, kita langsung menolak semua peluang untuk mengikuti pengajian ilmu agama. Tak usah kan usrah yang perlu komited setiap minggu, daurah yang sebulan sekali/dua kali, jaulah beserta pengisian 3/4 tahun sekali tapi kena spend duit, pun tak berminat nak pergi. Inikan pula program keagamaan yang sekali sekali dari ustaz ustazah di kawasan setempat. Yang tahu hanyalah study dan study dan study dan study ilmu keduniaan itu sahaja. Dan kalau kita tengok kan, bilamana si ghulam pergi belajar ilmu agama dengan rahib, si rahib tak pernah pun menghalang si ghulam dari terus pergi belajar ilmu sihir. Paling teruk pun dalam situasi terdesak, sebab kena marah, si rahib hanya menyuruh si ghulam 'berhelah atau berdalih' dan bukannya menipu. Pengajaran untuk kita adalah, dalam sesetengah situasi apabila kita dihalang oleh ibu bapa (contohnya) untuk pergi ke program-program keagamaan, kita boleh berhelah dengan mengatakan ingin pergi ke program motivasi. Benda betul sebab pergi program keagamaan pun kita tetap akan mendapat motivasi jugak kan?

Macam jugak dalam kisah Rasulullah SAW. Rasulullah lihat ada seorang pemuda Mukmin yang dikejar oleh musuh. Musuh tersebut tidak mengenali Rasulullah dan bertanyakan Rasulullah, adakah Rasulullah melihat pemuda tersebut. Apa Rasulullah lakukan? Rasulullah ubah kedudukan dia dengan melangkah ke tempat lain dan Rasulullah mengatakan, ”Sewaktu aku berada di sini, aku tidak melihatnya”. Rasulullah menipu ke? Tidak, tetapi sebaliknya Rasulullah berdalih.

Macam jugak perjalanan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Bila ada yang bertanyakan Saidina Abu Bakar, siapakah Rasulullah, Saidina Abu Bakar mengatakan bahawa Rasulullah itu adalah ’penunjuk jalan’ untuk menjaga keselamatan Rasulullah. Mungkin di mata orang yang bertanya, Rasulullah adalah orang yang tahu selok belok perjalanan ke sesuatu tempat, tetapi di hati Saidina Abu Bakar, dia tahu bahawa Rasulullah adalah ’penunjuk jalan’ yang lurus. Saidina Abu Bakar berbohong ke? Tak, sebaliknya berdalih.

Kembali kepada ilmu sihir.

Yang mana lagi penting?

Kedua-duanya. Dalam situasi kita diserang examinitis dan tengah 'high' dengan assignments, kita kena selalu ingatkan diri,

Ilmu akademik ini nombor 1, tapi ilmu agama bukan nombor 2.


Dan ketika berada dalam kesibukan merancang dan mengikuti program-program keagamaan termasuklah segala urusan melibatkan TnD, kita kena ingat jugak yang:

Urusan akhirat ini nombor satu tapi urusan akademik bukan nombor 2.

Ya, susah memang susah. Tapi bagi sahabat yang merasakan dan sedang melalui susahnya untuk berjaya kedua-duanya itu, percayalah itu maknanya sahabat sedang 'bekerja' untuk melakukannya. Sekiranya sahabat tidak merasa susah, maknanya sahabat tidak pun berbuat apa-apa.

Penangan ilmu sihir memang hebat... sampaikan...

Makan tak kenyang sebab tak sempat nak makan banyak-banyak. Mandi tak basah sebab nak cepat-cepat sambung kerja atau study. Tidur tak lena, rasa terganggu sebab kerja tak siap lagi/ study tak habis lagi. Kepala berdenyut-denyut sebab tak cukup tidur dan tak tahu nak siapkan assignments tu. Hidup mula menyendiri tak cakap banyak sebab stress study tak habis-habis lagi. Kadang-kadang menangis sorang-sorang dalam bilik air sebab tengah-tengah kalut tu tertengok result assessment yang sebelum ni dapat markah teruk. Kadang-kadang terlebih gembira, bergelak ketawa macam tak masuk akal sebab rasa macam dah malas nak layan semua hal. Kadang-kadang tu marah-marah orang tak tentu pasal bersama jelingan maut sebab nak marah diri sendiri tapi termarah orang.

Akhir kata, jadikan usaha mengejar ilmu sihir itu bermatlamatkan DIA dan rasakan kepentingan untuk mendalami ilmu agamaNYA itu juga. Andai diketuk sekali untuk menerima hidayah, cepat-cepat bukak pintu hati dan grab hidayah tu.

Lagi penat, lagi banyak cabaran, lagi banyak kisah suka duka, lagi banyak jatuh dan bangun, lagi banyak trial and error, lagi kuat 'muscle hati' kita. InshaAllah. Dan mereka yang lagi banyak susah payahnya itu yang akan dapat lagi banyak reward dan lagi kerap Allah tengoknya berbanding dengan orang yang semuanya senang dan indah lagi mempesona. Percayalah, Allah tak tengok hasil, Allah tengok usaha. Tapi kita terlalu fokuskan hasil sedangkan hasil Allah dah tetapkan. Usaha ini yang merupakan urusan dan kerja kita. Fokuskan pada usaha. Semoga setiap urusan duniawi dan ukhrawi setiap sahabat yang membaca ini akan dipermudahkanNya.. InshaAllah ^__^



Kalau sahabat berminat untuk tahu lebih banyak kupasan hadis ghulam, InshaAllah, boleh baca di sini..




0 comments:

Post a Comment

Komen anda..