Tuesday, March 15, 2011

Di Sebalik Kejayaan Seorang Wanita

Di sebalik kejayaan seorang wanita itu terdapat berkali-kali kegagalan dalam hidupnya.


Mungkin kebiasaannya orang mengatakan bahawa “di sebalik kejayaan seorang wanita itu terdapat seorang lelaki (suami mungkin) yang menyokongnya”.

Tapi buat masa ini, saya lebih suka ungkapan yang pertama di atas. :D

Sejujurnya, ungkapan yang sebenar yang saya jumpa pagi ini dalam buku Prof Izzi adalah:

Di sebalik kejayaan seorang lelaki terdapat bertahun-tahun kegagalan dalam kehidupannya.


Sama je samada lelaki ataupun wanita, tapi sebab saya perempuan, saya nak guna perkataan wanita dalam ungkapan tu. Ngeeee…

Penggunaan perkataan samada wanita ataupun lelaki itu bukanlah isu pun, sebab itu hanyalah istilah yang bertujuan untuk menjadikan mesej tersebut lebih spesifik kepada golongan tertentu supaya lebih terasa kesannya. Itu sahaja.

Tapi, apa yang penting adalah maksud ungkapan di atas.

Di sebalik kejayaan setiap dari kita samada lelaki ataupun wanita, kita pernah melalui waktu-waktu kegagalan. Begitulah juga dengan tokoh-tokoh yang kita kagumi. Mereka yang berjaya itu pernah melalui kegagalan. Tapi bila mereka berjaya, mereka menjadi terkenal dan kita mengagumi kehebatan mereka sedangkan ketika zaman kegagalan, tiada siapa pun yang ambil tahu. Malahan mungkin tiada siapa pun yang sudi tolong mereka ketika mereka susah.

Oleh sebab itu, bagi kita yang sedang berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan dan sedang berdepan dengan pelbagai masalah dan kesusahan, anggaplah ia sebagai kenangan manis yang kita akan kenang apabila sudah berjaya kelak, InshaAllah, dengan izinNya.

Teringin nak kaitkan dengan kehidupan kita sebagai muslim.

Di sebalik keimanan seorang muslimin ataupun muslimat terdapat berkali-kali jatuh bangunnya melawan futur.



Apa maksud futur?

Dari segi bahasa futur membawa kepada dua maksud. Yang pertama adalah terputus langsung selepas bersikap konsisten dan berhenti selepas aktif bergerak. Yang kedua pula didefinisikan sebagai sikap malas, melambat-lambatkan dan bertangguh berbeza dengan keadaan dulunya sentiasa pantas dan efisien.

Dari segi istilah pula pelbagai definisi mengikut keadaan dan suasana. Mungkin juga membawa maksud kita hilang semangat, hilang arah, menurunnya tahap keimanan, makin banyak melakukan kemaksiatan dan makin menjauhi Allah SWT.

Hati kitaini seperti sebiji gelas. Jika gelas itu tidak diisi dengan air kopi, akan diisi dengan air susu. Jika tidak diisi dengan apa-apa air sekalipun tetap akan diisi dengan udara. Begitu juga dengan hati kita. Jika tidak diisi dengan iman, akan diisi dengan maksiat. Jika tidak diisi dengan cinta Illahi, syaitan akan datang mengisinya dengan cinta haram.

Namun persoalannya mampukah kita untuk kekal berada di tahap keimanan yang teratas? Tidak!

Akan ada masanya kita diuji dengan futur.

Bukan bermakna kita menanti masa kita futur, oh tidak!

Tapi secara fitrah, ada ketikanya, tanpa kita sedari kita sudah pun futur.

Futur bukanlah semata-mata bermakna kita telah pun kehilangan kemanisan keimanan dan berpaling dari jalan menuju Allah. Itu adalah tahap futur yang paling tinggi yang kita patut jauhi sejauh-jauhnya. Nauzubillah. Tapi futur ini adalah mungkin dalam bentuk kita terlalai seketika daripada mengingatiNya kerana terlalu sibuk dengan urusan keduniaan. Bila mendengar kebaikan (tazkirah atau peringatan) kita mengingatiNya, tapi bila keluar dari majlis ilmu, kita kembali lalai. Sebab itu pentingnya sesi, “mari kita beriman sejenak”. Untuk recharge iman, InshaAllah.

Janganlah merasakan diri kita sangat teruk apabila kadang-kala tahap keimanan kita berkurang tanpa kita sedari. Dan janganlah juga mengutuk dan terus menghukum seseorang yang baik, contohnya seorang murabbi yang ada kalanya melakukan kesilapan di luar kawalannya. Mari ambil iktibar dari kisah Hanzalah ini.

“Mengapa dengan kamu?”Abu Bakar bertanya.

“Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq. Hanzalah sudah jadi munafiq!” kata Hanzalah, penuh kesal.

Terkejut Abu Bakar mendengarnya.

“Mengapa kamu berkata begitu?” Abu Bakar meminta penjelasan.

“Semasa aku duduk di dalam majlis Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mendengar tentang Syurga serta Neraka, iman aku meningkat kepada keadaan yang baik. Tetapi tatkala aku bekerja dan kembali kepada keluargaku, imanku terjejas dan menurun. Hanzalah sudah jadi munafiq!” cerita Hanzalah.

Keterangan itu menggusarkan Abu Bakar. Beliau juga merasainya.

Mereka berdua pergi bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan menceritakan kisah kebimbangan Hanzalah yang amat signifikan itu. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika kamu sentiasa berada di tahap yang sama seperti ketika mana kamu bersama denganku dan semasa mengingati Allah, nescaya Malaikat akan berjabat tangan denganmu ketika kamu berhenti rehat atau berjalan! Akan tetapi, wahai Hanzalah, ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu (Baginda mengulang menyebutnya tiga kali)” [Hadith riwayat Muslim]


Dalam bahasa yang lebih mudah, jika keadaan diri kita sentiasa baik seperti di dalam majlis ilmu dan ketika di luar majlis ilmu, nescaya Malaikat itu akan tabik spring dengan kita! Hebatlah jika begitu. Namun ia menyalahi tabiat manusia. Iman itu pasang dan surut. Agama Islam, tidak pernah menafikan hal yang amat fitrah ini. Lalu Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menegaskan kenyataan berikut:

ada masa untuk ini dan ada masa untuk itu…

Masa bekerja, perlu bekerja. Masa mengaji, perlu mengaji. Masa sibuk, sibukkan diri. Masa berehat, perlu berehat.

Sekadar ingin berkongsi penawar futur secara ringkas:

1- Membaca al-Quran dan mengambil iktibar dari kisah-kisah al-Quran.
2- Menyelami Seerah Nabawiyyah
3- Membaca sejarah-sejarah pejuang Islam.
4- Melazimi solat-solat jemaah
5- Memperbanyakkan amalan sunat. Istighfar, zikir, memberi salam dan sebagainya.
6- Mengelak dari melakukan perkara makruh.
7- Selalu bersama orang yang soleh.
8- Menghadiri majlis ilmu.
9- Selalu berhubung sesama ahli.
10- Pengurusan yang baik dan berdisiplin.
11- Menjaga masa
12- Kreatif dalam membina aktiviti
13- Membina kesatuan fikrah dan amal


2 comments:

  1. Di sebalik keimanan seorang muslimin ataupun muslimat terdapat berkali-kali jatuh bangunnya melawan futur.

    ~Menarik dalam perkongsian ini~

    "Subhanallah"

    ReplyDelete
  2. moga brmnfaat...
    ini fitrah kita jatuh bgn mlwan futur, tp yg pntg blgn kita BANGUN mlwan itu perlu lg bnyak dr blgn kita jatuh, btol x ukhti?

    p/s: jazakillahu khairan sudi dtg n komen ^_^

    ReplyDelete

Komen anda..