Friday, February 11, 2011

Peduli Mesir


Pada Januari 2011, tercetusnya reformasi rakyat Mesir yang mahu presidennya, Hosni Mubarak mengundur diri. Dunia amnya dan Malaysia khususnya kecoh seketika dengan isu Mesir ini. Malaysia kecoh kerana isu pelajar-pelajar kita di sana. Pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu untuk membawa pulang pelajar-pelajar kita di sana. Ini pun pelbagai desas-desus dari pelbagai pihak, tapi saya tak berminat untuk ambil tahu sangat.

Sejujurnya saya mengaku bahawa saya tidak pernah mengambil tahu isu pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak di Mesir, sehinggalah tercetusnya reformasi ataupun mungkin juga dilabelkan sebagai rusuhan ini. Kali pertama saya mengetahui isu ini ketika mengikuti satu program di Serdang. Ustaz yang terlibat menayangkan video-video kebangkitan rakyat Mesir sebagai selingan kepada program kami. Kerana itulah saya mengetahuinya. Disebabkan tidak langsung ambil tahu sebelum ini, saya bertanya kepada kakak-kakak yang tahu dan dapatlah sedikit gambarannya. Bila habis program, balik ke rumah, barulah berpeluang untuk membaca tentang kebangkitan rakyat Mesir ini. Untuk mengeluarkan pendapat jauh sekali kerana ilmu yang cetek. Jadi saya berkongsi artikal berbentuk 'sejarah' yang menarik sebagai pencetus rasa peduli Mesir.


************************************************************************


MENARIK tatkala DR. MASZLEE MALIK mengungkap ayat ini: ‘‘Perubahan dan peristiwa yang berlaku di rantau itu pasti akan mengenang Tunisia sebagai pencetus revolusi kepimpinan manakala Mesir pula sebagai nadi kepada rantau tersebut. Jika rejim Mubarak berundur ia membawa petanda baru dalam lanskap politik di Asia Barat dan teori domino akan berlaku manakala Israel akan berasa terancam.’’ Rumusan itu dilontarkan ketika sesi wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID jurugambar MOHD. NAIM AZIZ memfokuskan kepada gerakan kebangkitan rakyat Mesir berikutan kezaliman rejim Presiden Hosni Mubarak.

Bekas pengajar di School of Government and International Studies, Durham University, United Kingdom itu melihat kemiskinan dan tekanan hidup penduduk di Mesir melonjakkan semangat untuk mereka keluar berdemonstrasi secara aman di jalan-jalan. Mesir sebagai negara yang menerima sumbangan kedua terbesar dari kuasa besar Amerika Syarikat dihimpit kemiskinan mengakibatkan penduduk di situ diresapi budaya negatif seperti rasuah yang semakin berleluasa.

Maszlee yang kini pensyarah jurusan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta bekas penceramah kursus Politik Islam di School of Oriental and African Studies (SOAS), London berkata, paling penting dalam menangani konflik di Mesir adalah memastikan Mubarak dan rejimnya berundur secara menyeluruh supaya reformasi di Mesir dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat di situ.

MINGGUAN: Apa punca sebenarnya krisis di Mesir?

MASZLEE: Kalau dilihat isu ini

tidak boleh dipisahkan dari lanskap politik di Asia Barat itu sendiri. Semenjak 20 tahun yang lalu kebanyakan negara di sana banyak dikuasai oleh rejim diktator yang juga terdiri daripada anggota tentera dan pernah terlibat dalam revolusi seperti di Tunisia, Libya dan Mesir sendiri. Ada yang terlibat menggulingkan kerajaan beraja dan juga sosialis dan kemudian menggantikan kepimpinan pada awalnya berasaskan suara rakyat. Tetapi apabila terlalu lama mereka berakhir dengan diktator. Ini fenomena menyeluruh bila mana di negara Teluk termasuk Jordan dan Maghribi juga bersifat diktator. Krisis kewangan mengakibatkan ekonomi teruk di negara-negara itu serta agihan ekonomi yang tidak sekata telah menyebabkan rakyat kelaparan. Bila rakyat lapar mereka akan keluar ke jalan raya. Ini bukan sahaja berlaku di Asia Barat bahkan di seluruh dunia kerana ia adalah fitrah manusia. Ini ditambah dengan sistem autokratik yang melampau dengan tiada kebebasan akhbar, berpolitik dan sebagainya sebahagian penyebab peristiwa di Mesir hari ini. Namun kita juga lihat dunia global telah mendidik manusia di serata dunia dari negara membangun hinggalah ke Asia Barat menjadi celik terhadap hak masyarakat, tanggungjawab pemerintah dan isu berkaitan tadbir urus negara. Ini menyedarkan orang ramai tentang kepentingan demokrasi terutama di kalangan orang muda dan golongan intelek. Bagi mereka semua maklumat ini diperoleh dari luar melalui teknologi seperti Internet, akhbar dan paling berpengaruh adalah dari televisyen Al Jazeera.

Kemunculan Al Jazeera telah mendidik mereka tentang erti sebenar menjadi seorang manusia merdeka. Peranan stesen televisyen ini dalam revolusi mutakhir ini akan dikenang dalam lipatan sejarah. Ini sumbangan besar oleh Emir Qatar yang banyak memain peranan dalam Al Jazeera. Inilah peranan kuasa media baru yang ternyata penting dalam revolusi Tunisia, Mesir dan mungkin bakal berlaku di negara-negara jiran yang kini semakin menggelegak. Ia seolah-olah menanti waktu untuk meletus saja. Namun punca sebenar yang banyak mendorong rakyat untuk bangkit dalam krisis kali ini adalah kerana isu ekonomi seperti kelaparan, pengangguran selain korupsi, rasuah dan kepimpinan.

Kenapa selepas 30 tahun di bawah Hosni Mubarak baru sekarang penentangan ini berlaku?

MASZLEE: Ketika Mubarak naik ke puncak kuasa memang tabiat manusia tidak akan menunjukkan taring sebenar. Pada tahun 1981 beliau melancarkan projek Islamisasi dan ketika itu Mubarak begitu mesra dan lunak dengan golongan ulama Al- Azhar, pihak agama serta pembangkang iaitu Ikhwanul Muslimin. Malangnya honeymoon itu tidak lama dan beliau mula menunjukkan sifat sebenar. Pertamanya beliau menggunakan sekatan contohnya terhadap media, politik dan sebagainya. Kedua, beliau mengubah Perlembagaan dan kini pihak pembangkang mahu beberapa klausa dalam perlembagaan yang memberi kuasa untuk rejim kekal berkuasa diubah. Pembangkang ketika sekitar 90-an, wacana golongan Islamis lebih menonjol namun ia tidak mewakili hasrat rakyat yang besar. Hanya mereka yang menonjol dan berani ke hadapan dalam perjuangan demokrasi ketika itu. Kebangkitan itu ada tetapi ia tidak benar-benar mewakili rakyat. Dan kita boleh lihat setiap kali berlakunya pilihan raya Mubarak akan bertindak menangkap aktivis- aktivis ini. Suasana berbeza selepas tahun 2000 apabila media luar mula memainkan peranan dan kesedaran rakyat juga semakin meningkat. Kebanyakan mereka adalah golongan muda, umur pertengahan dan kelas pertengahan serta mereka yang pernah belajar di luar sebelum pulang ke Mesir.

Mereka inilah yang banyak memainkan peranan dalam mencetus perubahan. Cuma satu perkara di Mesir ini bukan kali pertama gerakan secara massa. Sebelum ini Gerakan Kifayah yang diilhamkan bagi menentang cubaan bagi melantik anaknya menjadi presiden. Anak beliau Gamal dikatakan telah dilatih untuk membuat perubahan dalam parti Mubarak seperti mana bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair lakukan dalam Parti Buruh. Orang yang bertanggungjawab adalah Profesor Abdul Wahab Al Masiri, seorang tokoh pemikir Mesir yang berjaya menyatukan golongan Islamis, haluan kiri dan liberal. Apabila waktu berlalu, sudah mula timbul tekanan mahukan perubahan rejim dan kemuncaknya adalah pilihan raya tahun lepas. Ini kerana terang-terang rejim Mubarak telah memanipulasi keputusannya apabila tiada wakil pembangkang terpilih sedangkan dalam pilihan raya sebelumnya pada 2005 ada sekitar 80 orang wakil dalam Parlimen. Selepas pilihan raya perasaan tidak puas terhadap keputusan semakin kuat, dan kemudian dengan kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya. tetapi moodnya belum cukup kuat untuk revolusi sehingga tercetusnya peristiwa di Tunisia. Perubahan dan peristiwa di rantau ini pasti akan mengenang Tunisia sebagai pencetus revolusi kepimpinan manakala Mesir pula sebagai nadi kepada rantau tersebut. Jika rejim Mubarak berundur ia akan membawa petanda baru dalam lanskap politik di Asia Barat dan teori domino akan berlaku manakala Israel akan berasa terancam. Baru-baru ini seorang pelobi utama Israel di Amerika Syarikat, Zuckermann berkata: "Kita mahukan demokrasi tetapi bukan di Asia Barat.'' Ini kerana demokrasi di sana adalah sesuatu yang bahaya bagi kedudukan mereka.

Tetapi apa yang berlaku sekarang rejim Mubarak semakin menekan rakyatnya sendiri?

MASZLEE: Fitrah diktator adalah mereka mahu terus berkuasa selama mungkin. Mubarak mahu tunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa dia bukan seperti Presiden Tunisia , Ben Ali. Beliau tidak mempunyai keberanian tetapi Mubarak sangat berbeza dan bertegas, jika mahukan perubahan ikut dia punya syarat dan bukan rakyat memberi syarat. Ini ditegaskan oleh Timbalan Presidennya, Omar Suleiman yang diketahui ramai sebagai kawan rapat Israel dan anak didik CIA. Adalah mustahil jika Mubarak berundur Omar Suleiman akan menggantikan beliau jika rejim sama masih memerintah. Jika dia naik keadaan dilihat akan menjadi lebih teruk berbanding Mubarak. Pandangan penganalisis Arab adalah Mubarak umpama meminjam waktu kerana apa yang cuba ditunjukkan adalah walau apa pun yang berlaku ia bukan akibat dari rakyat tetapi kerana kehendaknya. Ini fitrah mana-mana diktator. Cuma apa yang berlaku sekarang adalah rejim beliau ini lebih "cerdik" tetapi dalam konotasi yang jahat untuk berhadapan dengan dunia luar dan rakyat.

Jika dilihat pada awal-awal polis telah dikerah dan berlakulah pertumpahan darah walhal rakyat ketika itu bergerak dan menentang secara aman. Malah ada yang mengatakan gerakan ini adalah yang paling bertamadun dalam sejarah demokrasi kerana ia berlaku secara aman. Tetapi kemudian tentera pula masuk campur tetapi tidak bertindak ganas sekadar hanya menakutkan rakyat dan tidak berkesan. Kemudian Mubarak membuat janji tidak melantik anaknya malangnya bukan itu yang dimahukan rakyat. Akibat tekanan polis hilang dari kawalan dan ketika itulah balai polis kena bakar dan diserang. Rupa-rupanya polis ini ada pelan B dengan berpakaian preman dan menonjolkan diri sebagai kumpulan pro-Mubarak. Kumpulan ini kemudiannya bertindak agresif dengan menyerang penduduk, ada yang menaiki kuda dan unta serta memiliki senjata api dan digelar sebagai "baltaji" atau samseng. Ini adalah sesuatu yang mengelirukan dan kemuncak adalah beberapa hari lepas apabila tentera terpaksa masuk campur untuk memisahkan dua golongan ini.

Dan kini tindakan rejim ini dalam menggunakan polis dapat dikesan satu dunia dan didedahkan. Kini semakin ramai pemimpin dari seluruh dunia meminta Mubarak membuat transformasi dalam bahasa lembut tetapi dalam bahasa sebenar adalah berundur kerana semakin ramai rakyat yang terbunuh. Ben Ali pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal kerana tentera tidak bersamanya.

Apakah Mubarak akan akur dengan tuntutan supaya berundur?

MASZLEE: Dalam hal ini ada empat senario yang boleh diandaikan. Pertama jikalau berlaku perbezaan pendapat antara pemimpin tentera, Mubarak terpaksa berundur. Kedua kemungkinan beliau akan berundur tetapi penggantinya dari rejim yang sama seperti Omar Suleiman. Jika ini berlaku bermakna status quo kekal, tidak ada perubahan. Ketiga, akibat tekanan berat dari AS supaya Mubarak berundur memandangkan negara itu adalah sekutu paling rapat di Asia Barat.

Mesir adalah negara kedua terbanyak menerima bantuan dari AS selepas Israel di rantau tersebut. Jika ini berlaku adalah satu keadaan tidak baik bagi Mesir kerana AS pastinya akan memainkan peranan siapa yang akan menggantikan Mubarak. Yang keempat jika keadaan ini berterusan dan lebih banyak darah tumpah, memaksa Mubarak melarikan diri, maka tentera akan mengambilalih.

Apakah rakyat Mesir sudah bersedia untuk menerima demokrasi?

MASZLEE: Satu perkara yang perlu dilihat tentang Mesir ialah mereka mempunyai golongan menengah yang ramai di Kaherah, Iskandariah serta Suez. Kebanyakan ilmuwan di Arab datang dari Mesir dan rakyatnya pula agak berbeza berbanding negara-negara lain ialah mereka dilihat selangkah ke hadapan dalam banyak hal baik dari seni, pendidikan dan sebagainya. Jika dari ruang demokrasi saya lihat tidak ada masalah kerana mereka pernah menolak sistem monarki, rejim sosialis di bawah Gamal Nasser dan kini rejim nasionalis di bawah Mubarak.

Pengalaman ini memberi input kepada golongan muda dan pertengahan bahawa mereka sudah bersedia dengan sistem demokrasi yang sebenar. Namun ia akan mengambil waktu dan tidak berlaku dalam sekelip mata kerana pensejajaran antara aktor-aktor politik memerlukan sedikit waktu. Ini sebagai contoh antara golongan minoriti kibti Kristian dan Muslim, isu antara golongan sekular dengan Islamis, isu antara golongan liberal dan tradisionalis, kuasa agama di Al- Azhar yang sebelum Anwar Sadat mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat sivil dalam paradigma agama. Ini semua antara perkara yang memerlukan waktu untuk digembleng semula. Bagi saya demokrasi akan berlaku tetapi dalam acuan mereka dan "bahasa" itu sudah semakin kuat sekarang.

Golongan mana yang dijangka akan lebih menonjol jika berlaku perubahan?

MASZLEE: Semua tahu bahawa pembangkang utama adalah Ikhwanul Muslimin. Tetapi mereka sedar belum masanya untuk memimpin Mesir dan jika mereka naik ia umpama meletakkan bahaya yang sangat besar bagi negara itu. Mereka banyak belajar dari pemimpin pembangkang Islam buangan dari Tunisia, Rashid Ganushi yang menyatakan "gerakan Islam kami tidak ingin memerintah negara kerana kami adalah sebahagian dari rakyat dan tidak akan bertanding presiden'. Beliau juga yakin kumpulan dan gerakan lain perlu bersamanya untuk menubuhkan kerajaan Tunisia baru.

Dan saya terkejut Ikhwanul Muslimin juga mengeluarkan kenyataan sama baru-baru ini. Mereka menyatakan bahawa mereka bukan mahu syariah tetapi perubahan pada perlembagaan supaya rakyat mendapat kuasa yang lebih. Mereka mahukan yang terbaik kepada rakyat. Setakat ini mereka menyatakan persetujuan kepada Mohammed El Baradei yang diiktiraf dan dikenali di peringkat antarabangsa dan dilihat neutral dalam hubungan dengan AS dan Israel. Tapi kalau dilihat dari kehendak rakyat Mesir tidak kira mereka liberal, berhaluan kiri apatah lagi Islamis mereka tidak boleh menerima Israel dan tidak mahu tunduk dengan AS. Ini yang menggerunkan Israel.

rujukan asal boleh klik di sini

************************************************************************


Artikal seterusnya ini juga menarik. Rupa-rupanya ada 'trigger event' yang agak memeranjatkan berlaku di Tunisia yang kemungkinan juga mendorong tercetusnya kebangkitan rakyat Mesir.



************************************************************************

Pada awal tahun 2011 ini, kita telah dikejutkan dengan satu revolusi atau kebangkitan umat Islam dalam menentang kezaliman yang melampau oleh sang pemerintah.

Peristiwa ini mula tercetus apabila rakyat dari Tunisia mula bangkit menentang rejim zalim yang telah menekan dan menindas mereka semenjak berakhirnya penguasaan Khalifah Uthmaniah di negara ini pada tahun 1881.

Kronologi Kebangkitan Rakyat Tunisia

Kebangkitan rakyat Tunisia (revolusi Jasmin atau Melor) dimulakan oleh Muhammad Bouazizi yang merupakan seorang graduan lepasan sebuah universiti tempatan. Beliau pada ketika itu hanya berusia 26 Tahun. Namun disebabkan kegagalan pemerintah menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, pekerjaan amat sukar diperolehi walaupun bagi seorang graduan. Kadar pengangguran tinggi sehinggakan mencecah 40 peratus.

Demi mencari sumber pendapatan yang halal, beliau terpaksa menyara diri dengan menjual sayur-sayuran di pinggir jalan. Akan tetapi, selepas tujuh tahun menjadi penjual sayur-sayuran, kedai beliau telah disita oleh kerajaan dengan alasan beliau berniaga tanpa izin.

Pada Hakikatnya, Bouazizi sudah cuba untuk membayar 10 Dinar Tunisia serta ditambah lagi dengan 7 dolar, namun, pegawai kerajaan tidak mengendahkannya malahan beliau telah ditampar, diludah serta keluarganya dihina dengan begitu dasyat. Justeru, beliau bertekad membawa kes ini kepada penguatkuasa untuk diadili, tetapi sebaliknya kekecewaan yang ditemui. Sekali lagi beliau tidak diendahkan oleh penguatkuasa, malah beliau langsung tidak dapat bersua dengan mereka bagi menyuarakan hal tersebut.

Pengorbanan ke Arah Kebangkitan Gerakan Kesedaran

Beliau yang begitu kecewa dengan tindakan rejim ini lantas mengambil langkah untuk membakar diri di hadapan pejabat pihak berkuasa tempatan di kota kelahirannya Sidi Bousaid pada 17 Disember 2010 sejurus selesai solat Jumaat. Tindakan yang diambil oleh Bouazizi bukan sahaja membakar dirinya, malah dia juga telah membakar semangat rakyat Tunisia untuk menjatuhkan kerajaan zalim Ben Ali.

Hasil dari peristiwa tersebut, berlakulah demonstrasi besar-besaran yang dianggotai oleh segenap lapisan masyarakat yakni penganggur, golongan intelektual, golongan profesional dan sebagainya. Demonstrasi tersebut dikatakan bermula di kota Sidi Bousaid lalu merebak ke seluruh kota-kota besar Tunisia seperti ibu kota Tunis, Sfak, Cartagho, Qairawan dan lain-lain.

Demonstrasi besar-besaran ini akhirnya sukar bagi kerajaan rejim Ben Ali untuk membendungnya sehinggakan pejabat-pejabat kerajaan dan swasta serta pusat-pusat membeli belah telah ditawan oleh golongan demostrasi. Akibatnya negara menjadi lumpuh.

Disebabkan kegagalan rejim Ben Ali mengawal gelombang kebangkitan, pihak tentera dan polis mula bertindak balas. Hasil daripada campurtangan pihak tentera dan polis, berpuluh-puluh nyawa melayang serta ribuan yang telah cedera demi memastikan kejatuhan rejim zalim ini.

Tumbangnya Kerajaan Ben Ali

Tekanan demi tekanan yang diterima oleh rejim tersebut akhirnya membuatkan presidennya, Ben Ali mengambil tindakan cuba melarikan diri bersama keluarganya ke Perancis. Namun begitu, permintaannya untuk melarikan diri di perancis telah ditolak bulat-bulat sehingga beliau terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi.

Kebangkitan rakyat ini akhirnya membuahkan hasil apabila rejim diktator Ben Ali berjaya digulingkan pada 14 Januari 2011, 10 hari selepas Bouazizi meninggal dunia. Pada masa itu, negara Tunisia berada dalam keadaan darurat. Namun bagi mengisi kekosongan presiden, Perdana Menteri Mohammad Gannouchi telah mengambil alih kuasa tersebut walaupun ia bertentangan dengan perlembagaan negara Tunisia. Jawatan Perdana Menteri pula telah diambil alih oleh Speaker Parlimen Tunisia, Fuad Almabzeig.

Tidak lama selepas itu, kerajaan baru tersebut telah menjemput parti pembangkang untuk membentuk kerajaan sementara bagi meredakan kembali kemarahan rakyat selain berjanji akan mengadakan pilihanraya umum yang adil dan bebas dalam tempoh enam bulan.

Ben Ali, penguasa diktator Tunisia yang telah berkuasa selama 23 tahun dengan berpandukan pemerintahan sekular telah dijatuhkan oleh gelombang bekas graduan negaranya sendiri. Ini merupakan satu gelombang kesedaran bagi setiap masyarakat Islam bukan sahaja di bumi Tunisia, akan tetapi di segenap pelusuk dunia untuk bangkit menyatakan kalimah yang benar terhadap pemerintahan yang zalim sepertimana hadis Rasulullah S.A.W

"Jihad yang utama, ialah menyatakan kalimah kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim"

rujukan adalah dari salah satu artikal di iluvislam

************************************************************************

Banyak lagi sebenarnya artikal yang kita boleh baca supaya kita termasuk dalam golongan yang ambil tahu isu Mesir ini. Walaupun kita berada di Malaysia, rakyat Malaysia, kita perlu juga sedar isu Mesir ini bukanlah sekadar isu 'Membawa Pulang Pelajar Malaysia' tetapi juga isu umat. Ambil la masa untuk Peduli Mesir dan Peduli tentang Agamamu!

update: 11 Februari 2011, Hosni Mubarak telah pun mengundur diri. Berita boleh dibaca di alJazeera

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..