Friday, January 28, 2011

Alangkah Baiknya.......


Ada seorang lelaki yang sedang nazak. Dia mengungkapkan beberapa perkataan yang sukar untuk difahami orang lain. Katanya, "Alangkah baiknya kalau semua, alangkah baiknya kalau baru, dan alangkah baiknya kalau banyak". Sahabatnya tidak memahami maksud kata-kata itu, lantas bertanya pada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:

Yang pertama, semasa sihatnya lelaki ini pernah menyedekahkan separuh dari roti yang dimakan kepada pengemis yang datang ke rumahnya dengan ikhlas. Kerana separuh roti itu, Allah tunjukkan kepadanya ganjaran yang bakal menunggu di syurga. Jadi, dia berkata, "Alangkah baiknya jika semua".

Yang kedua, lelaki ini berjalan di satu lorong dan bertemu dengan seorang tua yang kesejukan. Lantas dia memberikan bajunya yang tidak berapa baru kepada orang tua itu dengan ikhlas. Allah telah menjanjikan ganjaran yang baik padanya di syurga kerana sedekah itu. Kerana itulah dia mengatakan, "Alangkah baiknya kalau baru".

Yang terakhir, sabda Rasulullah SAW, lelaki ini pergi ke masjid. Dalam perjalanannya, di hadapannya ada seorang lelaki tua yang lambat pergerakannya. Lelaki ini tidak memintas sebaliknya memimpin tangan orang tua ini ke masjid dan mengajaknya bersembahyang. Malangnya lelaki tua itu Yahudi. Lalu lelaki ini menghantar orang tua ini ke rumahnya. Satu tangan yang dipimpin kerana Allah akan mendapat ganjaran di syurga. Sebab itulah lelaki itu berkata, " Alangkah baiknya jika banyak".


Apa agak-agaknya ibrah (pengajaran) dari kisah ringkas ini?


Sudah semesti moralnya adalah:

Dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan, kerjakan dengan ikhlas. Dengan itu, InsyaAllah kita bukan sahaja akan dimuliakan di dunia tapi juga di akhirat. Tetapi jika apa yang dilakukan itu hanya untuk mendapat pujian, di dunia sahaja kita merasainya.


Sebelum itu, apa sebenarnya maksud ikhlas ini? *recall jap*

Ikhlas bermaksud suci dan murni serta tidak bercampur dengan yang lain. Maksudnya, mengerjakan ibadah dan kebajikan hanya kerana Allah SWT serta mengharapkan keredhaan Allah dan bukan untuk mendapat pujian, kemasyhuran atau gelaran.


"Tulis senang ar, nak buat nya susah. Macam la yang menulis ni boleh ikhlas sebagaimana yang didefinisikan tu"

Memang susah pun. Dan definisi tu pun, sekali baca pun dah tahu, saya copy. Jangan risau, apa yang sahabat fikirkan tadi tu betul. Memang saya copy je. Tapi memang betul pun kan itu adalah definisi 'ikhlas'.

Cuba baca balik lagi sekali definisi ikhlas tu.

"..........HANYA kerana Allah SWT........"

Maksudnya, setiap kali kita nak buat sesuatu perkara yang baik, kita perlu betulkan niat dan ikhlaskan hati, "Aku buat ini semata-mata kerana Allah SWT".

BUKANNYA........

"Ok gak kalau aku tolong hantarkan mak cik ini ke rumahnya, tinggikan saham, untung-untung boleh jadi bakal menantu." *maklumla tengah mencari*

"Tak apalah keluarkan sikit duit, belanja En. XYZ, mana tahu kalau-kalau ada projek baru, dia bagi dekat aku".

"Luangkanlah masa sikit tolong adik-adik junior baru daftar ni, sebagai bukti aku buat kerja."

"Bagi la sikit kek ni dekat si AaBb, mana tahu bila dia masak-masak nanti dia bagi dekat aku jugak."

Di atas adalah antara contoh-contoh perbuatan tidak ikhlas kerana Allah SWT yang direka oleh saya, tiada kena mengena dengan mana-mana jiwa. Sia-sia kan perbuatan yang tidak ikhlas ini. Jadinya, kita perlulah ikhlas. Ikhlas semata-mata kerana Allah SWT sahaja, tiada sebab lain.

Tapi realitinya, macam 'kelakar' la jugak kan setiap kali nak buat sesuatu pekerjaan yang baik, nak kena betulkan niat dan cakap dalam hati, "Aku buat ini kerana Allah semata-mata".

Bukan 'kelakar' sebenarnya, tapi malas dan tak terbuat. 'Bajet' diri baik, hati suci murni jadinya beranggapan bahawa niat kerana Allah itu akan hadir dengan sendirinya. Mungkin ada individu soleh solehah macam tu, niat ikhlas itu hadir dengan sendirinya, tapi tak semua kan? Saya antaranya, yang tak memiliki diri baik dan hati suci murni itu. Jadi mustahil niat kerana Allah itu hadir dengan sendirinya. Sebab itu kena selalu betulkan niat dan setiap kali nak buat sesuatu, kena cakap kat diri, "Aku buat ini kerana Allah SWT semata-mata".

Jom! 'Usha' contoh-contoh amal ibadat yang tidak bersandarkan keikhlasan sebaliknya ada tujuan sampingan. Mana tahu, ada antaranya yang kita pernah terbuat, InsyaAllah lepas ini boleh perbaiki.

  • Orang yang bersedekah tetapi tujuannya hanya untuk mendapat pujian supaya dikatakan dia seorang yang dermawan.
  • Orang yang menunaikan sembahyang bukan untuk menunaikan kewajipannya tetapi untuk menunjukkan dia seorang yang taat beribadat.
  • Orang yang berpuasa bukan kerana melaksanakan kewajipannya sahaja tetapi untuk menjimatkan perbelanjaannya seharian.
  • Orang yang berperang untuk mempertahankan negara tetapi juga mengharapkan pengiktirafan, pangkat dan darjat.
  • Orang yang pergi menunaikan haji untuk menunaikan rukun kelima tetapi terselit juga rasa bangga kerana dia mampu pergi haji dan boleh membawa balik pelbagai barang dagangan.
  • Orang yang menuntut ilmu bukan sahaja kerana kewajipannya tetapi untuk mendapat martabat dan kedudukan.


Mungkin ada yang macam terkena dekat batang hidung sendiri atau mungkin ada yang belum. Tapi InsyaAllah tak akan la kan. InsyaAllah.

Begitulah kita manusia yang cepat terleka dengan hasutan syaitan dan kalah dengan nafsu sendiri. Maklumla nafsu dan syaitan saling bekerjasama untuk menyesatkan manusia. Namun itulah mujahadah kita. Dan dari bermujahadah itulah kita akan mengumpul pahala, InsyaAllah.

Semoga bermanfaat!

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..