Friday, December 10, 2010

Sesejuk Maaf di Kalbu

Api yang marak boleh padam dengan sejuknya air. Dendam yang marak, apa pula pemadamnya? Padamkanlah ia dengan sejuknya MAAF......


MAAF... itulah tema utama kisah ini. Sebuah novel adaptasi dari kisah benar hasil tulisan Nor Atiqah Ghazali. Sejujurnya ini adalah kali pertama saya membaca buku hasil karya beliau. Dan saya juga tidak mengenali beliau sebelum ini. Novel ini juga telah lama saya 'usha' di rak MPH, Subang Parade. Setahun yang dulu. Entah kenapa, dulunya, bilamana saya baca sinopsis ceritanya saya seakan tak berminat. Dan sekarang, bila dah selesai baca, baru terasa 'bahangnya'. Tak pasal-pasal mata merah. Dan yang pasti inilah realiti kehidupan. Saya suka baca novel sebab saya dapat belajar erti kehidupan dari novel sebegini. Saya suka novel berbentuk kesusahan hidup sebegini mungkin kerana saya juga anak orang susah dan saya rasa jalan ceritanya dekat dengan saya. Dan sememangnya menyentuh hati.

Kisah ini menceritakan tiga orang sahabat yang memulakan persahabatan semenjak di tadika. Kemudian persahabatan itu berterusan sehingga sekolah rendah. Apabila bersekolah menengah, pelbagai cabaran ditempuhi sehingga membuatkan mereka terpaksa memilih haluan masing-masing. Ketiga-tiga remaja ini mempunyai masalah keluarga tersendiri. Fazli, ibu bapanya sentiasa sibuk. Bapanya seorang pakar motivasi, ibunya pula sibuk dengan persatuan. Manakala Amirul, ibu bapanya berpisah. Bapanya berkahwin lain. Ibunya pula sakit mental. Dia dan adiknya disara oleh kakaknya dengan duit haram. Shukri pula dibesarkan ibunya, tanpa ayah. Dia tiga beradik dibesarkan oleh ibunya yang sanggup berkorban apa sahaja demi kejayaan anak-anaknya.

Siapa antara mereka bertiga yang terus menjadi mangsa keadaan? Dan siapa pula antara mereka yang berjaya menggapai impian masing-masing? Dan bagaimana pula dengan erti persahabatan mereka? Adakah terhenti di pertengahan jalan dan meninggalkan si teman yang terus dihimpit tekanan hidup? Atau kembali mencari dan mengingati kenangan bermain bersama sejak dari tadika?

Seperti diterangkan di atas, persahabatan mereka bermula sejak di tadika. Mereka yang masih baru mengenal kehidupan berdikari saling bertegur sapa pada hari pertama persekolahan mereka. Dimulakan dengan soalan keramat Azli yang bertanya, "Awak siapa?" Dan kemudian dijawab Amirul, "Kita Mirul". Dan soalan yang sama ditujukan pada Shukri pula dan jawabnya, "Mama kita panggil kita Uri". Di meja makan tadika itulah mereka memulakan perkenalan dan dari situ kisah mereka bermula. Seperti kanak-kanak lain, mereka gemar bertukar-tukar cerita dan salah satunya mengenai keluarga. Apabila Fazli dan Amirul tanya Shukri tentang ke mana perginya ayahnya, Shukri selalu menjawab tak tahu. Ayahnya tak balik lagi. Dan setiap kali balik sekolah, soalan itu pasti diulang-ulang tanya pada mamanya. Atas desakan soalan-soalan yang sama, mamanya 'ter'jawab bahawa ayahnya telah mati. Namun, mamanya menangis dengan kata-kata itu. Tapi itu je jawapan terbaik yang dapat mamanya bagi untuk kanak-kanak yang masih mentah seperti Shukri. Hakikatnya, ayah dan mamanya telah bercerai dan ayahnya bersikap lepas tangan dan langsung tidak ambil tahu tentang anak-anak. Bukan setakat nafkah tapi jenguk anak-anak pun tidak pernah menyebabkan Shukri membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.


Di sebuah kondo, Amirul melalui kisah sedih hidupnya. Ayahnya garang dan selalu memarahi dan memukul ibunya, Puan Natrah. Ayahnya selalu cakap, "aku cerai baru tahu" pada ibunya. Ibunya yang sudah ada sejarah sakit mental kembali tertekan disebabkan selalu dimarahi dan dipukul. Namun Amirul agak matang dan mula mengerti keadaan hidupnya dalam usia semuda itu. Pada suatu malam ketika ibunya yang sedang meracau dan mengilai dalam bilik air, Amirul berjaga dan melayan adik kecilnya, Laili bermain. Dari situ, Amirul mula meletakkan ini dalam fikirannya, "Ayah jahat". Ayahnya jahat yang selalu marah-marah pada ibunya. Ayahnya jahat sehingga menyebabkan ibunya sakit. Ayahnya jahat kerana menyebabkan dia, kakak dan adiknya hidup tanpa kasih sayang ayah dan ibu. Kemudiannya ibunya dihantar ke hospital sakit mental dan ayahnya berkahwin lain. Pada mulanya, mereka dijaga oleh nenek sebelah ibunya namun kemudiannya terpaksa tinggal bertiga sahaja kerana neneknya sudah tua dan uzur. Kakaknya terpaksa menamatkan pengajian sehingga peringkat SPM sahaja dan kemudian bekerja di Mydin. Namun desakan hidup menyebabkan dia terjerumus ke lembah hina dengan menjadi pelacur demi mendapatkan wang untuk membesarkan adik-adiknya.

Di sebuah kediaman mewah, dalam keadaan yang kaya raya, ada satu jiwa kecil yang merasa kesunyian. Itulah Fazli. Anak tunggal kepada Dr Halim, seorang pakar motivasi terkenal dan ibunya Dato' Salmiah, seorang aktivis NGO sebuah pertubuhan amal. Kedua-duanya sibuk memanjang dan jarang berada di rumah. Kegembiraan Fazli adalah ketika berada bersama-sama Shukri dan Amirul di sekolah. Namun seperti kanak-kanak lain, Fazli juga mendambakan kasih sayang ayah dan ibu. Dia juga ingin bercerita tentang kawan-kawan kepada ayah dan ibunya.

Berakhirnya zaman tadika, mereka bertiga ke sekolah rendah yang sama. Masih berkongsi kisah dan cita-cita bersama sampaikan cikgu-cikgu juga tahu keakraban mereka bertiga. Namun, penipuan ibunya tentang kematian ayahnya membuatkan Shukri kecewa. Dalam usia mentah, di peringkat sekolah rendah, di jatuh sakit kerana terlalu kecewa dengan ayahnya. Dia sangat sedih dengan sikap ayahnya yang tinggalkan dia, ibu dan adik-adiknya. Dia ingin seperti kanak-kanak yang lain yang mempunyai ayah. Kerana jatuh sakit, Shukri tidak ke sekolah dalam tempoh yang panjang. Sampaikan ibunya terpaksa bawa Shukri jumpa doktor, Dr Farhan Hadi. (saya tersenyum sendiri membaca ini.. Dr Farhan Hadi, penulis buku Denyut Kasih Medik.. hehe.. mereka saling mengagumi sesama sendiri, dan saya mengagumi mereka.. ^__^).

Pada suatu hari, Amirul dan Fazli yang rindukan sahabat mereka ke rumah Shukri.

"Uri, tak best la awak tak ada," kata Amirul. Dia menghadiahkan sehelai sapu tangan kepada Shukri. Fazli turut menerima sapu tangan itu.

"Ini untuk apa?" tanya Shukri.

"Tak ada apa. Cuma tanda persahabatan. Inikan tahun terakhir kita bersekolah rendah." Jawab Amirul. Mereka bakal menduduki UPSR.

Namun kerana janji pada mamanya, Shukri kembali bersemangat belajar untuk UPSR. Mereka belajar bersungguh-sungguh. Namun Amirul dan Fazli agak sedikit malas dan akirnya ketika keputusan UPSR diumumkan, Shukri berjaya mendapat 5A. Manakala Amirul berjaya mendapat 2A 3B dan Fazli dengan 3A 2B. Kerana itu, Fazli dan Amirul tidak berjaya melayakkan diri ke mana-mana sekolah yang terbaik, hanya ke sekolah biasa. Tidak seperti Shukri yang berjaya menempatkan diri ke sebuah sekolah berasrama penuh. Namun di sekolah itu, Shukri yang agak 'skema' tidak punya ramai teman. Dia tetap merindui Amirul dan Fazli yang lebih memahami dirinya. Dia juga sering menjadi mangsa buli senior. Kerana terdesak tiada wang untuk membeli nasi lemak yang dipesan oleh senior (dibuli), Shukri mula belajar mencuri demi menyelamatkan diri daripada dipukul oleh senior tersebut. Dirinya juga kembali menjadi sensitif dengan isu ayahnya. Keadaannya yang tidak dipedulikan oleh seorang ayah menyebabkan dia tertekan dan balik ke rumah pada suatu hari. Dan meminta mamanya tukarkan dia ke sekolah lain. Pada mulanya mamanya marah namun setelah Shukri ceritakan kesnya dibuli, dia ditukarkan ke sebuah sekolah agama swasta dan berkenalan dengan sahabat yang baik, Suhaimi. Shukri pula semakin renggang dengan Amirul dan Fazli kerana mengikut pesan mamanya yang tidak mahu dia berkawan dengan mereka berdua yang dah masuk kategori 'budak-budak nakal'.

Amirul dan Fazli pula walaupun berlainan kelas tapi mereka tetap 'sekepala'. Walaupun Amirul masih tak faham apakah pekerjaan kakaknya yang selalu keluar dengan pakaian seksi, dan diambil oleh lelaki berlainan, dia seakan dapat menghidu sesuatu yang tidak elok. Namun, kakaknya yang 'berkorban' demi adik-adik sentiasa bagi duit yang banyak pada dia dan adiknya. Duit itu digunakan Amirul untuk merayau-rayau dengan motorsikal yang dibeli kakaknya bersama Fazli. Mulanya melepak dan berborak di sebuah wakaf tempat biasa mereka berdua kemudian beralih ke taman bunga. Puas mengorat dan bersiul-siul menyakat anak dara orang di taman bunga, mereka ke kedai makan. Pesan makanan kegemaran mereka dan makan apa yang mereka nak je. Selebihnya ditinggal. Sebelum balik, sempat lagi membeli rokok dan hari itu mereka mula belajar merokok. Mereka berdua juga semakin liar di sekolah. Banyak melakukan kesalahan disiplin. Dan akhirnya mereka tertangkap. Ibu bapa Fazli dipanggil dan kakak Amirul juga turut dipanggil. Kesalahan mereka tidak dapat dimaafkan dan kedua-duanya dibuang sekolah. Nasib menyebelahi Fazli kerana perbuatannya itu menyedarkan Dr Halim dan Dato' Salmiah akan kecuaian mereka dalam mendidik Fazli sebelum ini. Kedua-duanya insaf dan berusaha memberi sepenuh perhatian pada Fazli. Dihantar ke sebuah sekolah swasta dan makin diawasi oleh ibu bapanya menyebabkan Fazli pula semakin menjauhi Amirul. Gugur air mata Amirul apabila menerima satu mesej dari Fazli yang mengatakan, 'Mirul, mak ayah aku tak bagi jumpa kau lagi. Aku dah janji nak berubah. Kau jangan cari aku lagi ye.' Amirul kini sendiri mengorak langkah hidup tanpa teman bicara.

Amirul melepaskan tekanannya yang tidak berteman dengan merokok di wakaf tempat biasa dia dan Fazli melepak. Ada kalanya, Fazli atau Shukri akan lalu di depan wakaf tersebut namun kedua-duanya memalingkan muka dan tidak menegurnya langsung. Pilu hatinya yang kesunyian. Pada suatu hari, seorang lelaki datang menyergahnya dan mengajak Amirul join gengnya. Amirul hanya menurut. Dan akhirnya terlibat dengan Geng 7, geng yang banyak melakukan jenayah besar, merompak, seluk saku, menyamun, mencuri motorsikal dan sebagainya. Mereka licik untuk lari namun setinggi-tinggi tupai melompat jatuh juga ke tanah. Dalam satu cubaan mencuri motorsikal, Amirul tak sempat melompat ke motorsikal teman gengnya untuk lari apabila kegiatan mereka disedari seseorang. Akhirnya dia tertangkap dan dimasukkan ke sekolah juvana. Dua tahun dia berada di situ. SPM juga diambil dalam sekolah juvana itu. Pada tahun pertama dia kerap menerima surat dari kakaknya namun tidak untuk tahun kedua. Setelah keluar dari situ, Amirul ke rumah mereka. Namun terkejut rupanya kakak dan adiknya tiada lagi di situ. Dalam kebuntuan tiada arah, Amirul ke rumah Fazli. Walaupun dalam keadaan serba salah kerana mungkin sahaja Fazli tidak mahu menerima bekas banduan sepertinya, namun tidak bagi Fazli, sahabatnya itu dipeluk dengan penuh kerinduan. Sebenarnya Fazli dan Shukri tahu rentetan kisah sedih Amirul dan mereka menyesal kerana meninggalkan Amirul terkapai-kapai sendiri tapi pada masa itu, mereka juga lemah dan terpaksa mengikut kata ibu bapa. Setelah ditanya, tahulah Amirul bahawa kakaknya telah dihantar ke Rumah Pengasih setelah tembelangnya pecah manakala adiknya dihantar ke Rumah Bakti, rumah kebajikan. Amirul sedih dan kecewa. Membawa diri ke wakaf tempat biasanya.

Tanpa disangka rupanya, Geng 7 sentiasa tunggu Amirul keluar dari tahanan. Amirul yang tiada arah tujuan kembali aktif dalam Geng 7 itu. Kegiatan mereka makin berleluasa. makin dikehendaki polis. Amirul juga makin 'mahir' dalam kerja-kerja jenayah itu. Dalam Amirul melalui zaman kegelapan hidupnya itu, Shukri telah pun berjaya menjadi seorang doktor manakala Fazli telah berjaya menjadi seorang pendidik dan juga berkahwin dengan seorang pendidik. Namun kedua-duanya masih mnegikut perkembangan Amirul yang sering keluar berita tentang Geng 7. Mereka berdua selalu berdua agar Amirul kembali ke pangkal jalan. Amirul pula, sejahat-jahat dia, dia tidak merosakkan anak gadis orang sesuka hati. Dia berkahwin dengan seorang perempuan yang juga bernasib malang. Walaupun dia berniat untuk mengumpul duit dan tinggalkan Geng 7 dan cari kakak dan adiknya, semuanya tidak semudah itu. Dia terus bergelumang dengan kerja-kerja jenayahnya, dan mereka makin diburu polis. Dalam cubaan melarikan diri, mereka berjaya ditumpaskan pihak berkuasa. Ada antara gengnya terbunuh ditembak polis, tapi Amirul koma, isterinya yang sedang sarat juga selamat. Mereka ditahan. Dan Amirul menerima hukuman gantung kerana sememangnya dia penjenayah yang paling dikehendaki.

Dalam penjara, Amirul bertaubat dan kembali kepada Yang Maha Esa. Dia masih teringat pada kedua-dua sahabatnya, Shukri dan Fazli. Dan Fazli yang sememangnya lebih rapat dengan Amirul selalu datang melawat dan memberi perangsang supaya terus bertaubat kepada Allah. Sebelum Amirul dihantar ke sel terakhir, Shukri sempat mencari peluang melawat Amirul. Shukri menangis kerana dia sedih kerana gagal melaksanakan hak bersahabat kepada Amirul. Namun apa kata Amirul dalam sebak,

" Uri, kenapa kau menangis? Kau sepatutnya menangis ketika aku sesat dulu. Kini, kau sepatutnya gembira sebab aku dah kembali bertaubat. Hanya taubat yang boleh membahagiakan kita. Uri, jangan nangis lagi. Berbuallah dengan aku. Aku dah tak lama lagi, Uri. Esok atau lusa aku akan dihantar ke sel terakhir."


Setelah habis masa untuk berjumpa dan diarah keluar oleh warden penjara, Shukri menyapu air matanya dengan sapu tangan yang pernah diberikan oleh Amirul suatu masa dulu. (saat ni, saya yang terpaksa cari sapu tangan untuk sapu air mata, sedihnya).

Pada hari hukuman, Amirul dibawa ke bilik pertemuan terakhir untuk berjumpa dengan mereka buat kali terakhir. Wajahnya kelihatan tenang walaupun dengan tangan dan kaki yang bergari. Fazli yang telah tiba lebih awal sempat berjumpa dan memberi nasihat yang terakhir pada Amirul. Isteri dan anak Amirul juga ada di situ. Amirul memohon maaf pada mereka semua. Anaknya yang tidak mengerti akan maksud semua itu hanya mampu menyebur 'Ayah!'. Kerana kelewatan Shukri terkocoh-kocoh datang dan memanggil, "Mirul! Mirul!". Namun kerana telah tiba masanya, warden tegas dan menarik tangan Amirul. Fazli dan Shukri terduduk dan mereka mengisi masa dengan membaca Al-Quran dan berdoa sehinggalah datang warden yang mengajak mereka untuk melihat mayat sahabat mereka. Wajah Amirul kelihatan tenang meski di lehernya terdapat kesan jerutan dan kelihatan lembik akibat terjerut. Shukri dan Fazli lah yang menguruskan urusan pengebumian.

**********************************************************************************

Begitulah sepatutnya ikatan persahabatan kan? Tetap bersama hingga ke akhirnya. Namun pengajaran juga buat kita dalam bersahabat. Perlunya menunaikan hak kepada sahabat. Jangan abaikan mereka. Senang kan untuk diungkapkan tapi susah untuk dilaksanakan. Susah macam mana pun sama-samalah berusaha untuk menjaga sebuah ikatan persahabatan. Jaga hak dalam bersahabat dan berhati-hatilah dalam menyentuh hati mereka. Sentuh hati mereka kepada kebenaran tapi jangan kecilkan dan lukakan hati mereka. Kerana sekali terluka, parut akan terus di situ walau luka boleh sembuh. Tak semua mampu forgive and forget kerana kebanyakannya forgive yes, but forget no.

Bagi yang ada kesempatan dan rezeki, dapatkan dan bacalah buku ini. Sangat menyentuh hati bagaimana seorang kanak-kanak melalui zaman kehidupan yang penuh berliku. Kalau sahabat baca sendiri, saya rasa kesannya lebih terasa. Tiada siapa minta untuk lahir dan diuji sebegitu hebat kan? Dan sebenarnya bila seseorang budak nakal itu nakal, bukanlah salah dia semata-mata. Tapi kita cepat sangat menghukum mereka yang nakal dan jahat ini sebagai 'sampah masyarakat'. Sedar tak bila kita kata mereka 'sampah masyarakat', kita juga 'sampah' itu. Sebab kita sama sahaja. Kita tak pernah nak ambil tahu kisah hidup mereka. Kita pentingkan diri dan cepat je mulut menghukum mereka.

Saya sedar saya lemah dan tak mampu nak tolong dan bantu mereka. Tapi dari jauh hati saya tetap kasihankan mereka. Saya ada saudara yang merupakan pesakit mental. Saya ada saudara yang terlibat dengan gejala penagihan dadah. Saya ada saudara yang terlibat dengan kes budak-budak nakal. Mungkin ramai yang akan terus marah-marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pesakit mental apabila mereka mengacau orang tak tentu pasal. Tapi pernah terfikir tak, seorang pesakit mental itu ketika warasnya, dia merupakan seorang abang yang baik. Sanggup ketepikan hak kepada diri sendiri. Tangan lebih banyak bergerak dari mulut berbeza dengan kebanyakan yang waras yang mulut je banyak bergerak, tangan tak. Seorang abang yang berada di dapur sehingga lewat malam membersihkan periuk belanga yang besar-besar itu selepas majlis kenduri kahwin adik perempuannya, dia yang menjaga arwah ayah mereka sepanjang ayahnya sakit sehinggalah si ayah meninggal dunia tapi si adik tadi? pulang ke rumah bersama suami setelah ayah meninggal.

Mungkin ramai antara kita membenci dan menghina mereka-mereka yang terlibat dengan masalah-masalah sosial ini. Samalah seperti saya juga sebenarnya. Sampaikan bila pulang ke kampung yang jarang-jarang tu pun, bila golongan ini tegur dengan mesra, 'bila ayu balik?", saya jawab sepatah je. Sedangkan saya mungkin terlupa, masa saya kecik-kecik dulu, entah-entah mereka yang dukung dan main-main dengan saya. Mungkin juga mereka pernah membeli gula-gula untuk saya. Memang betul kita patut berhati-hati dengan mereka, tambah-tambah lagi kalau kita perempuan, tapi kita tak patut sisihkan mereka dan adanya 'ego'. Mana tahu penghujung hayatnya dia akan berubah dan lafaz taubatnya selama 2 jam sebelum nafas terakhir itu jauh lebih baik dari kita yang mengatakan diri tak pernah melakukan dosa-dosa itu selama 20/30/40/50 tahun.

Dan saya sangat kagum dan menghormati ibu bapa dan kanak-kanak yang membesar dari keluarga yang susah. Terus terang saya cakap senyuman saya kepada seseorang yang bekerja kampung, buruh atau penjual-penjual tepi jalan jauh lebih ikhlas dari senyuman saya kepada seseorang yang berjawatan profesional. Mungkin sebab saya rasa lebih dekat dan merasakan 'itu saya' bila berdepan dengan orang susah. Saya suka bila dapat senyum dan cakap 'good morning' setiap pagi pada seorang pakcik Australian yang jaga lalu lintas di sini (sebab ada construction). Selalu jumpanya dalam perjalanan menuju ke uni. Kadang-kadang dia yang akan cakap dulu, "Good morning, how're you going?" dan bila saya jawab, "morning, good, i'm good." Dan dia akan cakap, "thats good". Dan dia menegur soalan yang sama pada semua orang yang lalu. Walaupun ada yang tak suka (antaranya kawan-kawan saya yang merasakan tak perlu lah pakcik itu tegur semua orang), tapi saya suka dan saya rasa tenang untuk ke kelas dengan memberi senyuman pada pakcik itu.

Walau apa pun, setiap orang berlainan pendapat berdasarkan background history masing-masing.


~Sekadar perkongsian dan untuk ingatan kepada diri sendiri tentang siapa diri ini yang sebenar~

4 comments:

  1. Satu perkongsian yang amat menarik. Huhu... saya beli buku lepas tu simpan. X baca habis. huhu.. sedih! T_T

    Apapun, Semoga berjaya di sana. ^_^

    Kunjungan dari : Mai Secawan. Syukran sudi berkunjung. :)

    ReplyDelete
  2. beli pastu simpan? rugi je la camtu... kena baca la cik ikhwan :)

    InsyaAllah.. berada d sini bkn sekadar utk sgulung ijazah, akn brusaha mncari lbh dari itu. insyaAllah, moga terus kuat..

    Afwan.. sudi je kl content ok. lgpun skang tgh cuti.. ada masa nk bersiar2 di blog org..

    n jazakillah jgak sbb sudi ziarah TZ ^____^

    ReplyDelete
  3. salam..

    menarik...motivasi tuk diri sendiri juga..:)

    ReplyDelete
  4. wksalam wbt..

    motivasi utk kita brsama, insyaAllah ^___^

    ReplyDelete

Komen anda..