Tuesday, December 21, 2010

Pembunuh 99 Orang dan Sebuku Roti


Kita adalah hambaNya yang lemah. Mudah sangat hanyut dengan hasutan syaitan. Mudah sangat lalai dari tanggungjawab sebagai hamba dan juga khalifahNya. Namun jangan pernah lupa untuk bertaubat. Pohon keampunanNya. Dia Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Kasih sayangNya melebihi daripada kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Di bawah saya kongsikan dua kisah berkaitan taubat. Yang pertama adalah merupakan satu hadith Muttafaqun 'Alaih (riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Cerita ini sangat saya suka dan selalu ulang ketika berborak dari hati ke hati dengan sahabat-sahabat terdekat tika mereka berkongsi rasa. Dan yang kedua adalah sebuah kisah yang saya baca dari blog juanghinggatitisan.

Kisah pertama, Pembunuh 99 Orang

Abu Sa'id Al-Khudri meriwayatkan: Nabi s.a.w bersabda :

Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia.Lalu dia mencari seseorang yang paling alim.Setelah ditunjukkan kepadanya seorang pendeta,lalu dia terus berjumpa pendeta tersebut kemudian berkata : Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?

Pendeta tersebut menjawab : Tidak. Mendengar jawapan tersebut dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang ulama,dia terus berjumpa ulama tersebut dan berkata : Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia.Adakah taubatku masih diterima? Ulama tersebut menjawab : Ya! Siapakah yang boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah s.w.t. bersama mereka dan jangan pulang ke negeri kamu kerana negeri kamu adalah negeri yang sangat hina.


Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia mati, menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah mengenainya. Malaikat Rahmat berkata : Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab pula berkata : Dia tidak pernah melakukan kebaikan. Lalu Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata : Ukurlah jarak di antara dua tempat.Mana yang lebih hampir,itulah tempatnya. Lantas mereka mengukurnya.Ternyata mereka dapati lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh Malaikat Rahmat.

Mengikut Riyadus-Saliheen, banyak pengajaran dari hadith sahih ini. Antaranya ialah ia menunjukkan bahawa pintu Taubat sentiasa terbuka termasuk untuk seseorang yang melakukan dosa besar. Dan Allah akan menerima taubat hambaNya yang ikhlas dan benar-benar jujur. Dan pengajaran penting juga adalah, setiap ahli agama perlu ambil kira soal psikologi apabila membincangkan sesuatu isu. Jangan sampai pelaku dosa yang bertanya itu berpaling arah dan kembali melakukan dosa.


Kisah kedua, Kerana Sepotong Roti

Abu Burdah bin Musa Al-Asy'ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: "Wahai anakku,ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sepotong roti."

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga dia tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri.

Setelah ia sedar, maka dia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian dia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.Akhirnya dalam pengembaraannya itu dia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu.

Rupanya di samping pondok tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti. Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membahagi-bahagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: "Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku." Orang yang membahagikan roti itu menjawab: "Kamu dapat melihat sendiri,roti yang aku bahagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membahagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti." Mendengar ungkapan dari orang yang membahagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi.

Keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia. Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ia ternyata menjadi penebus dosa.

3 comments:

  1. subhanallah, smoga kita diberikan peluang taubat sebelum mati.

    ReplyDelete
  2. Allah...teringat kata2 seoang ustaz..kejayaan pling indah di dunia ilah mendapat pengakhiran yg baik..husnul khatimah!..amin

    ReplyDelete
  3. azhan >> InsyaAllah, smoga saat kmatian kita dlm iman..

    murabbi >> betul la murabbi.. kdg2 kita n sy sndiri trutamanya trlalu sgt nk fikirkn kjyaan dunia yg smntara nih.. tp skit je masa yg dluangkn utk fkirkan tntg kmngkinan gagal atau brjaya nya pnhjg hayat.. moga sama2 sntiasa mndapt hidayahNya, insyaAllah.. ^__^

    ReplyDelete

Komen anda..