Thursday, December 16, 2010

Mak Lang: Memberi Bukan untuk Menerima

Pada suatu petang yang agak membosankan di Brisbane ni, saya membelek-belek buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi iaitu "Tentang Cinta". Saya pun tak tahu kenapa saya beli buku ini. Nak kata sebab nak belajar bercinta tak pun sebenarnya. Saya nak ilmu. Tak kisah la apa topik pun asal bukan benda tak sepatutnya kan? Tapi entah kenapa sampai sekarang, tak habis-habis lagi saya baca buku ini. Nak kena ada feel bercinta dulu ke? Tak kan kot. huhu..

Tapi saya suka baca nukilan Ustaz Pahrol dalam blognya tentang cinta suami isteri dalam rumahtangga. Isi nukilannya realistik bagi saya. Sebab saya rasa tak akan ada hubungan suami isteri yang langsung tiada masalah. Pasti ada masalah dan ianya bergantung pada pasangan tersebut bagaimana mereka menyelesaikannya. Kadang-kadang kita yang remaja ni suka sangat baca kisah-kisah cinta romantik padahal hakikatnya hubungan suci itu akan sentiasa diuji. Tak perlu lah kita mengharapkan seorang suami yang romantik dengan memberi bunga sekuntum setiap hari, 365 hari setahun, kurang sikit kalau tahun lompat. Tak. Tak semestinya. Kalau bagi bunga flip-flap pun ok je. Tak akan layu. Hanya perlu dijaga dengan perhatian dan kasih sayang. ^________^

Sebelum saya sambung lebih panjang 'berangan dan merapu' tentang kahwin ni, padahal tak kahwin pun lagi dan tak ada pengalaman, jom baca kisah Mak Lang yang saya jumpa dalam buku 'Tentang Cinta' ini.


****************************************************************************

Mata saya memandang pusara Mak Lang. Di sebelahnya pusara suaminya Pak Lang. Saya tersenyum. Terbayang satu-persatu episod kenangan saya bersama mereka. Pak Lang meninggal sewaktu saya baru memulakan pengajian di universiti, manakala Mak Lang pula menyusul tiga bulan kemudian. Mereka meninggal atas sebab biasa – kata orang sakit tua. Mak Lang seingat saya berusia 80 tahun ketika meninggal dunia, Pak Lang mungkin lebih lagi.

Mak Lang terutamanya tidak mengajar tentang ilmu rumahtangga, tapi saya banyak belajar dari cerita-cerita dan amalannya.

“Mak Lang ada gaduh-gaduh tak dengan Pak Lang?” tanya saya.
“Eh, kau ni..Pak Lang kau tu panas juga orangnya. Ada lah gaduh, tapi tak selalu..”

“Kalau gaduh, Mak Lang buat apa?”
“Pak Lang kau tu cepat reda, datang lah dia memujuk.”
“Wah, romantik juga ye. Apa kata-kata pujukan Pak Lang?” usik saya.

“Dia tak cakap apa-apa. Dia tengok apa Mak Lang buat, dia tolong. Itu Mak Lang tahulah.. dia pujuk. Atau tiba-tiba dia pergi kedai, beli bahan masakan kegemaran Mak Lang..kemudian dia kata, jom masak sama-sama.”
“Apa kau tanya-tanya ni.. Mak Lang bukan pandai sangat. Orang kampung biasa. Kau tu kan belajar tinggi.”


“Taklah Mak Lang, saya cuma nak dengar kisah-kisah Mak Lang. dulu masa ada Pak Lang, takut saya. Dia tu garang orangnya,” akui saya terus-terang.

“Garang-garang pun dah suami kita. Mak Lang tak harap apa-apa masa mula dijodohkan dengan Pak Lang kamu..”

“Maksud Mak Lang?”

“Mak Lang tak pernah bayangkan suami Mak Lang nanti mesti begitu, begini.. hati Mak Lang terima bulat Pak Lang kamu sejak diakadnikahkan. Yang Mak Lang fikir, macam mana Mak Lang perlu buat bila dah kahwin nanti.. kena masak, kena jaga rumah, kena layan suami, kena didik anak-anak.. Mak Lang sedia itu sahaja. Mak Lang fikir singkat sahaja. Tak pandai pasang angan-angan.”

Singkat tapi tepat. Mudah tapi berhikmah. Mak Lang mungkin tidak mengetahui falsafah ilmu rumahtangga. Tetapi hati, perlakuan dan kata-katanya menepati ilmu yang dihuraikan oleh buku-buku besar ahli falsafah. Ilmu itu pada tindakan.

“Mak Lang belajar urut-urut tak?”

“Manalah ada.”

“Habis.. kata Pak Lang dulu Mak Lang pandai mengurut?”

“Gurau dia saja tu. Asalnya begini, dia jatuh sewaktu bekerja di kebun. Terhencot-hencot dia balik ke rumah. Tak sampai hati Mak Lang tengok, lalu Mak Lang urut. Ikut sedap tangan saja. Baik pula. Sejak tu, bila apa-apa sakit, dia cari Mak Lang.”
“Mak Lang tahu cakar harimau?”

“Apa tu?”

“Eh, tak ada lah. Apa petua Mak Lang dalam urut-mengurut ni?”

“Urut dengan hati kita..kerana sayang, kasihan, kasihkan dia. Bukan sekadar nak ambil hati.”

“Kerana nak beri kasih sayang, bukan nak dapat kasih sayang?” Tanya saya.

“Kau lebih pandai. Mak Lang tak pandai cakap-cakap macam tu.”

“Apa yang Mak Lang rasa hilang sangat bila ditinggalkan Pak Lang?”

Dia diam tiba-tiba. Tapi Mak Lang memang relaks. Tak pernah saya lihat dia menangis. Sewaktu Pak Lang meninggal dunia dulu pun, dia macam biasa. Berdoa, baca al-Quran dan membantu menyelenggarakan urusan-urusan penyempurnaan jenazah.

“Sembang-sembang Pak Lang kamu…” katanya pendek.

“Sembang-sembang saja?” ujar saya hairan.

“Ya, sembang-sembang Pak Lang kamu adalah penawar hati Mak Lang. Sambil sembang dia memujuk, memberi ilmu, sampaikan panduan. Pandai dia bercerita. Tapi ada makna. Kekadang penuh gurauan, dia tahu Mak Lang tengah sedih..”

“Bila Pak Lang suka sembang?”

“Bila ada kesempatan. Kadang-kadang sambil kami lipat baju. Masa anak-anak kecil dulu, kami bersembang sewaktu Mak Lang membuai anak..dia lipat kain. Sekali-sekala sewaktu memasak, kalau dia tak ke kebun. Tapi paling dia tidak pernah tinggalkan ialah sembang malam. Sembang-sembang menjelang tidur.”

Saya senyum. Dengan pemikiran yang simple, bahasa dan istilah yang mudah Mak Lang berkisah – praktik ilmu-ilmu motivasi terkini. Yang ditulis dalam pelbagai buku yang mahal dan tebal-tebal. Tapi Mak Lang dan Pak Lang hanya orang kampung, mereka hanya menulis dalam kehidupan. Berceramah dengan amalan harian.

“Siapa yang kuat sangat nak hantar anak-anak belajar tinggi?” Tanya saya.

“Kami berdua. Tak nak anak-anak susah.. Pak Lang kamu tak belajar tinggi. Setakat tahu baca dan mengaji sahaja. Tapi dia yakin, nak berjaya masa akan datang mesti dengan ilmu.”

Anak sulung mereka menjadi seorang jurutera. Manakala yang kedua menjadi seorang guru. Ketiga, polis dan yang bongsu seorang doktor.

“Mak Lang mengajar mengaji kan?”

“Mak Lang tekad. Anak-anak mesti khatam al-Quran di tangan Mak Lang sendiri. Wuduk, solat, taharahnya dah diajar sekolah. Pak Lang cuma tengok perbuatannya di rumah. Dia garang, tak berani anak-anak nak tinggal solat..dirotannya!”

“Apa falsafah hidup Mak Lang?”

“Mak Lang tak pandai.. Mak Lang hanya buat apa yang Mak Lang patut buat. Rasanya Pak Lang pun begitu juga. rasa kami sama, sebab selalu bersama..”

“Tapi ada orang selalu bersama, tapi rasa mereka tetap tak sama.. Kenapa Mak Lang?”

“Tak tahulah pula. Tapi Mak Lang selalu buat macam ni.. Mak Lang selalu fikir apa yang Pak Lang rasa, bukan yang Mak Lang rasa. Kalau keadaan macam ni, macam mana Pak Lang buat. Kalau macam tu, macam mana pula Pak Lang bertindak. Entahlah, akhirnya, Mak Lang rasa dalam diri Mak Lang, Mak Lang tak ada..yang ada Cuma Pak Lang.”

Wah, ini lebih tinggi daripada prinsip 7 habits, Steven Covey – Seek to understand than to be understood.

“Pak Lang rasa macam tu juga ke? Yang ada hanya Mak Lang?”

“Sekali sekala datang juga pertanyaan macam tu. Tapi Mak Lang tepis cepat-cepat. Kita buat apa yang patut kita buat. Isteri kena sayang suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan..”

Ini lebih hebat, prinsip teras dalam cinta rumahtangga – unconditional love.

Saya renung buat kesekian kalinya pusara Mak Lang. Sudah lama saya tidak ziarah untuk mengambil ibrah. Namun setelah saya berumahtangga kini, terbayang satu-persatu kata-kata bersahajanya. Mereka bukan wira yang perlukan tunggu kenangan. Atau negarawan besar yang perlu diberi pangkat atau gelaran. Mereka hanya manusia biasa, yang menjadi luar biasa dengan sikap biasanya – jujur, telus dan tulus. Memberi bukan untuk menerima!


Petua dari Mak Lang >> Isteri kena sayang suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan. opps! suami pun sama k! ^___^



p/s: belajar sikit-sikit tentang ilmu rumah tangga dari awal...

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. salam..

    sy suka la setiap n3 awak ayu..
    banyak manfaat..

    awak tahu orng dlu x de pun nak bercinta2 sebelum kahwin,ini kerana setiap pilhan keluarga adalah yg terbaik..

    mereka tiada pun janji setia sebelum kahwin..
    kita lihat bertapa bahagia nya mereka mngulam janji setia lepas kahwin,,x perlu diungkapkan dgn kata-kata manis sebelum kahwin..lihat betapa manisnya cinta mereka selepas kahwin..

    dan jangan terlalu mengharap kesempurnaan pasangan tanpa memikirkan kelemahan kerana kadang kala kelemahan dan kesempurnaan adalah saling melengkapi...

    ReplyDelete
  3. wksalam wbt hidayu..

    terima kasih.. sy mnulis utk mnfaat, tp kl ada yg tidak, abaikan n tegur ksilapan sy tau.. lgpun yg mnulis itu yg mmbacanya dulu kn? sbb itu sy cuba mnulis yg baik2, insyaAllah.. kdg2 utk mmotivasikn diri sy sndiri sbnrnya...

    betul.. saya sokong setiap kata-kata awk.. kita akn cinta n syg yg sbnr pd psngan adlah krn 'perkara-perkara biasa' yg ada pdnya, bukan krn yg 'luar biasa' atau klbhn yg akn org lain kagumi. sy mncari prkara2 biasa yg mnyenangkn ati utk spnjg hayat, moga ketemu, insyaAllah.. =)

    awk tau, ptg smlm n pg ni sy spend time ngn satu fmily senior n kisah cinta aunty n uncle tu juga mnarik.. bnyk ibrah dr prkenalan sy n mereka.. nnti saya ceritakn dlm post akn dtg.. insyaAllah ^__^

    ReplyDelete

Komen anda..