Saturday, November 27, 2010

Travelog Seorang Da’i

Saya banyak berfikir selepas berjaya habiskan sebuah buku yang berkisar kisah benar ini. Jarang atau mungkin sebenarnya saya tak pernah mengetahui perjalanan kisah benar seorang ustaz yang sebegitu mencabar. Kalau pernah pun sebahagian daripada kisah perjalanan hidup Ustaz Hasrizal yang mencabar yang masih terngiang-ngiang lagi part-part menarik cerita beliau. Cerita itu dikongsi oleh beliau ketika saya mengikuti satu program persediaan awal tahun aritu. Tapi selalunya saya membaca kisah perjalanan hidup yang mencabar dari seorang yang berjaya dalam kerjaya seperti seorang usahawan dan sebagainya. Ini adalah kali pertama saya membaca sebuah kisah benar perjuangan seorang ustaz yang melalui hidup susah dari usia muda. Sebenarnya saya dah lama ‘usha’ buku ini di rak buku MPH Subang Parade (tempat yang selalu saya ‘lepak’ tahun lepas semasa masih belajar di Malaysia). Tapi entah kenapa saya tak memilih untuk membelinya. Mungkin sebab tajuk ada perkataan Da’i (yang dulunya agak asing bagi saya kerana belum memahami). Dan mungkin juga sebab saya rasakan buku ini seperti buku untuk lelaki (ini agak entah pape!). Tapi betul, itulah yang saya fikir dulu. Tapi saat ini saya telah pun selesai membacanya dan terasa sangat terkesan. Dan saya juga sangat sukakan covernya. Hijau dan biru, gambar yang saya sangat suka , pertembungan langit dan bumi (sebab tu saya ‘usha dia’ dulu ^___^).

Kisah motivasi dari seorang ustaz. Ustaz Abdul Rahman Mohamed. Menarik! Jom selongkar sikit.

Ustaz Abdul Rahman adalah seorang ustaz yang berasal dari Singapura. Patutla tak pernah dengar nama ustaz ni di Malaysia kan. Ustaz Abdul Rahman ni bukanlah lahir dari keluarga yang ustaz pun. Malahan beliau lahir dalam sebuah keluarga yang sangat susah dan sememangnya beliau tidak langsung mengamalkan ajaran Islam termasuklah solat di usia remajanya. Malahan beliau pernah terlibat dengan budak-budak samseng di Singapura. Namun dengan hidayah Allah yang diberikanNya pada insan yang terpilih sahaja, Ustaz Abdul Rahman menuntut ilmu dan menjalankan kerja-kerja dakwah tanpa pernah jemu. Jatuh bangun dalam kehidupan seharian beliau sangat mencabar dan mengagumkan apabila beliau mampu bangkit dan meneruskan usahanya. Saya review part yang menarik dalam buku ini.



Zaman kanak-kanak hingga usia remaja yang berliku

Ustaz Abdul Rahman merupakan anak kelima dari enam adik beradik. Beliau telah menjadi anak yatim sejak kecil lagi apabila abahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan ketika ingin ke tempat kerja pada suatu malam. Sejak itu, mereka sekeluarga hidup susah dan ibunya menjadi seorang pemarah kerana tertekan dengan kesempitan hidup. Semasa di sekolah rendah, beliau akan ke sekolah dengan membawa 5 sen sebagai belanja, itupun jika ibunya mempunyai duit. Tapi selalunya beliau ke sekolah tanpa duit belanja, tanpa makan di rumah, dan juga terpaksa berjalan kaki pergi dan balik dari sekolah. Kerana itu, pada waktu rehat beliau akan ke tandas untuk meneguk air sampai 'kenyang'. Kadangkala beliau akan ke kantin, bukan untuk membeli makanan tapi sekadar untuk melihat dan mengecek teman-temannya makan. Beliau pernah dihalau oleh seorang makcik yang menjual mee rebus kerana perbuatannya berdiri di depan warung dianggap mengganggu perniagaan. Beliau berlalu dengan hati yang sangat sedih dan tak berani lagi berdiri di situ. Dengan kuasa Allah entah macam mana, makcik mi rebus itu tahu tentang beliau yang merupakan seorang anak yatim yang hidup susah dan melarat. Makcik itu memberinya makan sepinggan mi rebus. Kata beliau, " Hanya Allah saja yang tahu betapa sedapnya makanan tersebut bagiku. Itulah makanan yang saban hari aku tengok tetapi tidak mampu untuk mendapatkannya". (Saya terharu dengan ayat ni. =_=)

Beliau juga terpaksa menolong ibunya menyara anak-anak seramai 6 orang termasuk dirinya dengan berjaja nasi lemak dan kuih muih bersama abangnya. Sebelum jajaanya habis, beliau tidak berani pulang kerana khuatir dimarahi ibunya atau dia tidak sanggup melihat ibunya menangis. Pernah satu ketika beliau menjaja di kawasan National Stadium yang dalam pembinaan, beliau dijanjikan oleh Bai Sarbat untuk membeli semua nasi lemak dan kuih muihnya. Tetapi sebenarnya Bai Sarbat itu mempunyai tujuan yang tidak baik. Tetiba Bai tersebut mula menyelak kain dan...... (fikir sendiri... :p). Dia ingin meliwat. Dengan kehendak Allah tetiba datang seorang mandur India dan mengajak anak penjual nasi lemak itu ke pejabatnya. Mulanya seperti hero yang datang menyelamatkan tetapi sebenarnya seperti 'lari dari mulut harimau, masuk mulut buaya'. Mandur India juga mempunyai niat yang sama. Nasib baik beliau yang masih berusia 10 tahun ketika itu sempat melarikan diri.

Dalam kesempitan hidup yang berlarutan dan dihambat cikgu kerana tidak membayar yuran, akhirnya beliau berhenti sekolah dan mula bekerja. Dan dalam usia remajanya yang jauh dari pegangan agama, beliau mula terlibat dengan budak-budak samseng. Kerap kali beliau ditahan di lock-up. Beliau juga mula merokok seawal usia 14 tahun sehinggalah berhenti pada usia 27 tahun. Beliau pernah menjalani latihan Perkhidmatan Negara, suatu perkara yang paling ditakuti anak remaja kerana latihan ketenteraan yang sangat lasak dan disiplin yang ketat. Tapi tidak bagi Ustaz Abdul Rahman. Beliau gembira di NS kerana beliau dapat makan! Makan tiga kali sehari adalah suatu nikmat yang beliau tidak pernah rasakan sebelum itu. (terharu lagi sekali.. =_=)

Semangat menuntut ilmu dari usia muda hingga senja

Beliau mula mengenali Islam setelah diajak oleh abangnya untuk sama-sama belajar agama dari Ustaz Osman, yang merupakan Ustaz pertama beliau. Bagaikan seorang jahiliah yang memeluk Islam di zaman Rasulullah SAW, beliau begitu terpegun dengan ajaran-ajaran Islam yang murni. Ada yang menyebabkan beliau menangis insaf, insaf betapa sebelum ini beliau telah mensia-siakan hidupnya dan tidak mengenang segala nikmat dan rahmat kurniaan Allah kepadanya. Dari situ, minatnya pada ajaran Islam semakin bertambah. Beliau mula mencari guru-guru tambahan. Beliau belajar sebanyak 8 kali seminggu dengan guru-gurunya mengikut bidang masing-masing. Beliau tidak berlengah dalam urusan dakwah. Beliau telah cuba berdakwah dengan menyampaikan ajaran Islam pada sebuah keluarga pasangan suami isteri. Namun beliau mula menyedari bahawa untuk melayakkan diri untuk mengajar perlunya melalui sistem pembelajaran yang sistematik dan teruji. Beliau menyambung pelajarannya ke Jawa. Ketika menuntut ilmu di Jawa beliau juga menjalankan urusan dakwah sampaikan ada gadis yang berminat untuk berkahwin dengannya termasuklah seorang anak paderi yang diislamkannya (hensem kot Ustaz Abdul Rahman ni.. ^__^). Tapi jodoh beliau dengan gadis Singapura juga. Anak paderi yang baru memeluk Islam tu frust dan menghilang entah ke mana. (penangan putus cinta.. ish2). Moga-moga tetap Islam hingga hujung nyawa.

Pada 1990, beliau berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat universiti di Madinah. Walaupun dimomokkan oleh orang lain dengan mengatakan bahawa
Madinah tempat penyebaran fahaman Wahabi, namun Ustaz Abdul Rahman tetap meneruskan usaha menuntut ilmunya hingga akhirnya lulus dengan membawa pulang Ijazah Kepujian Kelas II Rendah dalam bidang Syariah pada 1993. Pada usia 32 tahun beliau mampu melakukannya, inikan pula insan yang bakal 22 tahun ni.. Muhasabah...

Antara rahsia kejayaan yang beliau amalkan:

1. Usaha belajar bersungguh-sungguh
2. Kumpulkan nota-nota setiap mata pelajaran untuk dibaca berulang-ulang kali sebelum hari peperiksaan
3. Setiap kali berjaya memahami sesuatu, bersyukur kepada Allah dengan mengatakan: "Ya Allah, aku berterima kasih kepadaMu kerana memberi kefahaman kepadaku. Tambahkanlah lagi kefahamanku dan jadikanlah ilmu yang aku pelajari ini bermanfaat".
4. Setiap kali solat dan berada di tempat dan masa yang mustajab, berdoa meminta kejayaan yang cemerlang.
5. Memberi salam. Kerana memberi salam adalah doa dan orang yang menjawab salam itu juga akan mendoakan kita.


Disember 1995, beliau sekali lagi berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia untuk mengikuti kursus sijil Pentadbiran. Walaupun subjek seperti Ekonomi dan Accounting menggunakan istilah-istilah yang asing buat seorang Ustaz seperti beliau, namun belia berjaya lulus cemerlang dan mampu mengalahkan semua pelajar yang lain.

Dakwah tanpa jemu walau diuji

Ustaz Abdul Rahman ditawarkan untuk berkhidmat di sebuah masjid sehingga beliau mampu mengimarahkan masjid tersebut dengan pelbagai aktiviti. Namun beliau tetap tidak terlepas dari ujian. Fitnah wanita yang mengganggu urusan dakwahnya menyebabkan beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berpoligami. Ustaz Abdul Rahman ni hensem kot, sampaikan isteri orang pun tergila-gilakan beliau. hehe..

Dan beliau sekali lagi diuji apabila disingkirkan dari masjid yang diimarahkan beliau. Namun rezeki Allah adalah tidak disangka, beliau 'dilamar' ke sebuah masjid yang lain pula. Beliau berjaya meningkatkan taraf pembelajaran tadika dan madrasah di masjid tersebut. Tapi lagi sekali beliau diuji. Urusan birokrasi kadang-kala banyak menyekat urusan dakwah. Beliau pernah ditangkap dan dikaitkan dengan 'Lashkar Jihad", iaitu pasukan pemberontak dari Indonesia. Tapi akhirnya beliau dilepaskan kerana tidak bersalah. Namun, beliau juga menerima nasib yang lebih kurang sama di masjid yang pertama. Disingkirkan dengan alasan yang mudah.

Kemudiannya, beliau memilih untuk berniaga. Lagi senang untuk beliau berdakwah dan mencari rezeki.

Kreatif dan inovatif serta gigih berniaga dan berdikari mencari nafkah

Ustaz Abdul Rahman mencari nafkah halal dengan cara berniaga. Perniagaan pertama yang diceburinya adalah bidang penyaluran paip (plumbing). Ini adalah perniagaan pertamanya sebelum menerima tawaran untuk berkhidmat di masjid. Beliau meminjam $2500 daripada pakciknya sebagai modal kerana sememangnya beliau tidak ada modal. $1700 digunakan untuk membeli sebuah van terpakai yang selalu meragam. Pada mulanya beliau menjalankan kerja-kerja tersebut bersama sepupunya tapi akhirnya sepupunya berhenti kerana tidak dibayar gaji. Ini kerana kontraktor mula menunda pembayaran hasil kerja-kerja mereka. Akhirnya beliau gulung tikar.....

Setelah mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dengan pengurusan dan ahli jawatankuasa masjid, beliau menubuhkan FIQH Consultancy & Services. Beliau mengeluarkan bahan-bahan pendidikan masyarakat seperti buku dan cd. Namun beliau tidak terlepas dari hasad dengki dari orang sekeliling. Difitnah sehingga perlu melibatkan mahkamah. Analogi mi rebus telur babi yang menarik tentang hasad dengki:

Di sebuah kawasan jajaan makanan Melayu, ada sebuah kedai mi rebus yang laris jualannya dan berjaya menarik pelanggan dari merata tempat. Ada seorang Melayu lain juga berhasrat membuka warung mi rebus bersebelahan kedai mi rebus tadi. Dia berniat menandingi warung pertama tersebut. Namun mi rebusnya jauh berbeza dan gagal menarik pelanggan ke warungnya. Pelbagai usaha dilakukan namun tidak juga berjaya. Akhirnya setelah tangkal dan pelaris tidak berjaya, dia menyebar fitnah. Biasanya mi rebus ada telur kan? Dia menyebarkan fitnah mengatakan kononnya warung pertama menggunakan telur babi. Perkataan babi sememangnya perkataan yang sensitif di kalangan orang Melayu Islam. Tapi entah kenapa, cepat sangat percaya dan terlupa bahawa babi mana la bertelur. Aiyo!

Moralnya: jangan cepat percaya dengan fitnah k!

Sebenarnya banyak lagi cabaran dan pencapaian Ustaz Abdul Rahman. Beliau pernah diberi peluang untuk menyewa tapak di bazar ramadhan. Gerai itu diusahakan bersama salah seorang isterinya. Namun hingga lebih separuh Ramadhan berlalu, gerai mereka tidak laku kerana rupa-rupanya lokasi tapak gerai itu tidak strategik dan tersorok. Banyak makanan untuk jualan dibazirkan dan duit untuk membayar sewa tetap juga tak berjaya dikumpul. Namun dalam keadaan terdesak itu, ada rezeki yang ditetapkan Allah. Beliau berjaya juga bayar sewa dan berjaya memiliki sebuah kedai di kawasan yang strategik. Berkat kesabaran beliau sekeluarga. Kedai itu diusahakan sendiri untuk menjual buku-buku dan cd-cd nya. Sikap kreatif dan inovatif beliau berjaya mencipta formula sabun sertu, tisu tayamum, sabun ihram (yang tiada wangian), dan juga tandas Muslim. Menakjubkan bukan? Namun tak semudah itu perjalanan beliau. JAKIM sukar untuk meluluskan sabun sertu nya. Agensi haji juga tidak berminat dengan sabih ihram beliau. Ada sesetengah masjid juga sukar untuk meluluskan persetujuan untuk pemasangan tandas Muslim rekaan beliau. Malahan untuk menjual buku-buku dan cd-cd nya juga sukar di sesetengah masjid.

Walau apa pun, saya banyak belajar dari perjalanan hidup beliau yang mencabar. Pesanan beliau yang bermakna:

Janganlah kesusahan itu menyebabkan kita berputus asa dari rahmat Allah. Kalau kita memilih iman kepada Allah, maka bersedialah untuk diuji. Ketahuilah ditetapkan kesusahan dahulu bagi orang beriman dan senang akan menyusul kemudian. Janganlah pula kita terpesona dengan kemewahan orang tidak beriman di dunia ini, untuk mereka kesenangan dahulu dan kesengsaraan kemudian. Kita bukanlah orang paling malang di dunia ini. Ada yang lebih malang. Kalau mahu terlepas dari kesempitan yang kita alami, sediakanlah diri kita untuk membantu orang lain walau dalam apa cara sekalipun. Semoga segala masalah kita hadapi segera diganti dengan kesenangan di dunia, atau kesenangan akhirat pasti menanti kita. Itulah kesenangan hakiki yang abadi.


klik untuk ke blog Ustaz Abdul Rahman

1 comments:

Komen anda..