Saturday, November 27, 2010

Part 6: ISABELLA - Isabella menerima sinar Keislaman


Cordova, di negeri Sepanyol pada ketika itu adalah merupakan pusat keilmuan sedunia. Para cendekiawan dan ahli hukum Islam yang terkemuka sering mengunjungi tempat itu dari berbagai-bagai tempat.

Ziad bin Umar merupakan salah seorang daripada ahli falsafah, pentafsir Al-Quran dan Hadis yang ulung. Tempat kediamannya terletak tidak jauh dari kampus Universiti Cordova. Biasanya, sesudah selesai Isyak, orang-orang yang hauskan ilmu, akan berkumpul di rumahnya.

Pada suatu hari, iaitu setelah hampir sebulan berakhirnya perdebatan di antara Umar Lahmi dengan Ketua Paderi, satu pertemuan yang biasa sesudah Isyak, telah berlangsung di rumah Ziad bin Umar yang dihadiri oleh para cendekiawan dan ilmuan yang terkenal. Setelah semuanya duduk, Ziad pun bertanya akan kesihatan masing-masing dan kemudian dia berkata kepada Umar Lahmi. "Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayat-Nya kepada usaha-usaha anda yang mulia. Anda telah berdakwah seruan kebenaran sampai ke dalam rumah orang-orang kafir dan menundukkan pula mereka itu.Anda telah menyampaikan seruan Allah."

Umar Lahmi dengan rendah hati menjawab,"Semuanya adalah berkat doa dan perhatian anda semua juga".

Satu suara lain terdengar di antara para hadirin."Saya dengar orang-orang
Kristian mahu membunuh Isalbella."

"Sebegitu jauh Isabella telah mengambil langkah-langkah melindungi dirinya. Dia merahsiakan keislamannya sehingga belum ada yang mengetahui bahawa dia sudah memeluk agama Islam." jawab Umar Lahmi.


"Isabella ada di sini?" tanya Ziad dengan nada gembira.

"Ya. Dia ditempatkan di bilik sebelah dan kalau ada izin daripada saudara, maka dia boleh dibawa mengadap," jawab Umar.

"Sudah tentu. Bawa Isabella kemari," kata Ziad. Isabella dijemput masuk ke majlis itu.

"Anakku Isabella," ujar Ziad.

"Saya bersyukur dan mengucapkan tahniah di atas pilihanmu kepada jalan kebenaran."

"Bapa yang mulia...." Isabella mula berkata. Tetapi Ziad mengangkat tangannya menyuruh dia bersabar.

"Anakku," kata Ziad.

"Panggilan yang serupa itu jangan kau gunakan lagi. Di dalam Islam ada persamaaan hak yang sempurna. Tugas suci orang-orang alim ialah membimbing orang-orang Islam menurut Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w. Menjadi tugas setiap muslim untuk mengikut bimbingan itu dan bukan mendewa-dewakan mereka ataupun menjadikan mereka itu berkuasa di atas semua urusan kehidupannya." Isabella berasa malu. Cahaya kemerahan naik ke pipinya.

"Ajarlah saya bagaimana caranya mahu memanggil tuan dan pemimpin-pemimpin Islam yang lain."

"Panggillah saya dan orang-orang Islam lainnya dengan panggilan saudara atau kalau mahu ditambah, gunalah perkataan tuan sahaja," kata Ziad.

"Anakku," kata Ziad kepada Isabella.
"Dengar baik-baik kataku ini. Kamu menerima Islam ialah sesudah membersihkan semua keraguan yang ada di dalam dirimu. Jangan sesekali kerana kecurangan atau muslihat. Allah mengkehendaki keikhlasan hati dan Al-Quran menyebut bahawa hidup dan mati seorang Islam, solat dan baktinya, duduk dan berdiri, tidur dan berjalan, tiap-tiap sesuatunya adalah kerana Allah semata-mata dan kerelaan Allah hendaklah menjadi tujuan hidupnya."

"Saya mengaku bahawa Allah menjadi saksi, tuan. Saya menjejaki ambang Islam ini bukanlah kerana nafsu atau muslihat. Juga bukan kerana tujuan inginkan kekayaan dan kekuasaan. Tuan sendiri tahu tentang penghormatan yang diberikan kepada kepada bapa saya di Cordova ini dan juga di seluruh Sepanyol," Kata Isabella.

"Allah akan melimpahkan rahmat-Nya kepadamu dan memberikan keteguhan serta nikmat-Nya yang tidak terhingga," ujar Ziad.

"Amin!" Semua hadirin serentak mengucapkannya.

"Apakah ada orang lain yang telah mengikut kau untuk menganut Islam?" tanya Ziad.

"Ya, tuan. Empat kawan saya yang sudah hilang kepercayaannya kepada agama Kristian dan sudah tertarik kepada Islam," ujar Isalbella.

"Dengan izin Allah, esok atau lusa saya akan membawa mereka ke mari supaya segala sisa-sisa keraguan dan syak wasangka tentang Islam dapat dibersihkan melalui penjelasan yang akan diberikan oleh pihak tuan.

"Saudari Isabella," Umar Lahmi mnyampuk.

"Siapakah gerangan kawan-kawanmu itu ? "

"Salah seorang daripadanya adalah anak guru teologi saya, Paderi Micheal. Mereka semua pernah mengikuti perbahasan tuan," ujar Isabella.

Maka pada hari itulah, secara rasminya Isabella telah memeluk agama Islam dan kini sedang tekun mendalami Al-Quran serta ilmu-ilmu agama.

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..