Saturday, October 9, 2010

Tufail bin Amru



Alhamdulillah petang sabtu ni berpeluang mendengar perkongsian satu kisah sirah, Kuliah Subuh Online (KSO) Akhowat. Subuh sebab waktu tempatan untuk pihak penganjur adalah lepas subuh. Mereka di UK/IRE subuh. tapi saya di Brisbane dah nak Maghrib. Tapi Alhamdulillah kita guna teknologi (paltalk dan skype) untuk mencari ilmu Nya. Jadikan teknologi ini sebagai tool. Sejujurnya saya tak kenal seorang pun dari akhowat itu tapi mencari ilmu tak perlu bersyarat. Optimis dalam mencari ilmu. Di bawah saya kongsikan mengenai kisah sirah ini, Tufail bin Amru.

Tufail bin Amru adalah seorang penyair dan pemimpin Qabilah Ad Dausi di Yaman. Beliau datang ke Mekah pada tahun kesebelas kenabian. Ketibaannya disambut dengan penuh hormat oleh penduduk Mekah. Beliau sangat disegani oleh kaumnya dan disebabkan pengaruhnya itu, pihak Musyrikin Mekah bimbang seandainya beliau tertarik pada Islam. Oleh itu mereka telah merancang agar Tufail tidak mendengar apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Rasulullah. Mereka berkata kepadanya:


“Engkau datang ke negeri kami, berwaspadalah terhadap seorang lelaki di kalangan kami. Dia menjadi masalah kepada kami. Dia telah memecah-belahkan masyarakat kami dan mengganggu urusan kami. Kata-katanya seperti sihir. Boleh memisahkan antara ayah dan anaknya. Memecah-belahkan sesama saudara-mara, suami dengan isteri. Kami bimbang kalau-kalau dia dapat mempengaruhimu dan kaummu seperti yang berlaku kepada kami. Jangan bercakap dengannya dan jangan mendengar cakapnya walau sedikit.”

Tufail mengikut sahaja kata-kata mereka.

Tufail menceritakan: “Demi Allah mereka terus menerus memperingatkanku dengan perkara itu sehingga aku mengambil keputusan tidak mahu mendengar dan bercakap dengannya. Bahkan aku menyediakan kapas penyumbat telinga supaya cakap-cakapnya tidak sampai kepadaku.

Sehinggalah suatu hari itu, apabila Tufail pergi ke masjid tiba-tiba beliau lihat Rasulullah bersembahyang di sisi Kaabah. Tufail berdiri berhampiran dengan Baginda. Dengan kuasa Allah Tufail mendengar sebahagian dari kata-kata Rasulullah.

Kata Tufail: "Aku mendengarnya dan aku dapati kata-kata yg baik. Aku pun berfikir sendiri, alangkah tidak baiknya kalau aku tidak membuat pertimbangan sendiri. Aku seorang penyair, aku boleh menilai baik dan buruk. Apakah yang menghalangku untuk mendengar dari lelaki ini apa yang diucap olehnya. Kalau baik, aku menerimanya dan kalau buruk aku menolaknya."

Lalu Tufail mengikut lelaki itu beredar pulang ke rumahnya dan masuk menemuinya. Tufail ceritakan kisah kedatangannya dan amaran penduduk Mekah. Tufail meminta Rasulullah menerangkan ajaran yang dibawa Rasulullah kepadanya. Rasulullah menerangkan tentang Islam dan membaca Al Quran.

Kata Tufail lagi, "Maka demi Allah, aku tidak pernah mendengar kata-kata yg lebih baik darinya serta perkara yg lebih adil darinya. Aku terus menganut Islam dan mengikrarkan syahadah yg sebenar.”

Tufail pulang ke Yaman dan menyeru kaumnya kepada Islam termasuk bapanya dan isterinya dan ahli qabilah Ad Dausi. Dengan kuasa Allah, keluarga Tufail dapat menerima Islam yang diajarkan beliau. Namun sayang kerana hanya keluarga beliau sahaja yang menerima Islam tetapi tidak masyarakat Ad Dausi. Walaupun Tufail berpengaruh dalam masyarakatnya, beliau gagal mengislamkn mereka. Ini ujian dari Allah untuk Tufail. Beliau sedih dan kembali berjumpa Rasulullah.

Tufail menceritakan kepada Rasulullah tentang masyarakat Ad-Dausi dan memohon agar turunkan bala kepada masyarakatnya yang degil tidak mahu menerima Islam. Tapi Rasulullah sebaliknya berdoa akan kebaikan kepada masyarakat Ad-Dausi. Rasulullah menyuruh Tufail pulang dan terus menyampaikan ajaran Islam. Dan Alhamdulillah ramai masyarakat Ad-Dausi menerima Islam selepas itu.

Pengajaran

“Maka siapa yang Allah beri petunjuk kepadanya, maka tiada siapa pun boleh menyesatkannya. Dan sesiapa yang Allah mentakdirkan dia menjadi sesat, maka tiada siapa yang boleh memberi petunjuk kepadanya.”

Petunjuk Allah tu bisa menjelma dan datang kepada kita jika memang itu izin dan kehendakNya. Jangan sekat dan lepaskan peluang untuk hidayah Allah itu menyapa pintu hati kita. Dan jika sudah jelas pada kita jalan hidayah dan jalan kesesatan, moga kita dapat menggunakan akal yang waras utk memilih dan menerima seruan ilahi, seterusnya melangkah ke arah kebaikan.

Pastikan kita tidak ego dengan membiarkan ketukan-ketukan yang diberi Allah itu berlalu. Ditakuti ketukan-ketukan itu tidak lagi hadir selepas ini dan kita terus dalam kesesatan dan kejahilan.

~~~~~Muhasabah diri


saya rujuk kisah jangan paksa saya ini sebab tak take note masa mndengar tapi saya edit sikit-sikit berdasarkan apa yang saya dapat..

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..