Tuesday, October 19, 2010

Husnuzhan


Khalid al-Walid Bersangka Baik

Khalid al-Walid, salah seorang panglima tentera Islam yang sangat hebat. Kebanyakan peperangan yang dipimpin oleh Khalid al-Walid akan mencapai kemenangan. Khalid al-Walid dilantik sebagai panglima sejak zaman Rasulullah s.a.w. hinggalah zaman Sayidina Abu Bakar masih hidup. Keperwiraan Khalid al-Walid menjadi kebanggaan tentera Muslimin.

Dalam satu peperangan ketika zaman Khalifah Umar al-Khattab, Khalid al-Walid telah dilucutkan jawatan daripada mengetuai tentera Muslimin padahal tentera yang dipimpinnya menang. Ramai orang Islam berasa hairan akan tindakan Umar yang tegas itu. Namun, Khalid al-Walid tidak terkilan dengan tindakan itu. Sebaliknya beliau bertekad untuk melibatkan diri dengan peperangan tersebut sebagai tentera biasa dan langsung tidak menyimpan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan Amirul Mukminin pada waktu itu.

Malah, Khalid al-Walid sentiasa bersangka baik dan positif dengan pemecatannya sebagai panglima kali ini. Setelah melalui beberapa peperangan, barulah terbongkar tujuan tindakan Umar yang memecat Khalid sebagai panglima. Hal ini kerana Umar tidak mahu orang-orang Islam pada waktu itu berasa taksub dengan kegagahan Khalid dan Umar ingin membetulkan akidah orang Islam bahawa kemenangan dalam peperangan itu disebabkan pertolongan daripada Allah Taala dan bukannya berpunca daripada kehebatan Khalid al-Walid.


Hebat bukan Khalid al-Walid?
Masih mampu bersangka baik walaupun dilucutkan jawatan sedangkan beliaulah yang bersusah payah memimpin tentera Muslimin sehingga mencapai kemenangan dalam peperangan demi peperangan.

Tapi kita?


Masing-masing tahu tahap iman sendiri bila diuji. Adakah kita sentiasa berfikiran positif dan optimis dengan setiap qada' dan qadar yang Allah bagi?

Mungkin kadang-kadang kita 'TER'mengeluh. Jadi cepat-cepatlah istighfar dan muhasabah diri balik.

Demi mencapai kejayaan dalam hidup yang diredhaiNya, kita perlu berusaha untuk menukar pemikiran pesimis kepada pemikiran optimis dan positif. Lebih-lebih lagi jika kita ingin bangkit dari kegagalan lalu. Sentiasalah bersangka baik pada Allah.

Memang. Memang hidup ini satu ujian. Kita tak mampu lari dari musibah samada musibah kecil dan ringan mahupun musibah besar dan berat. Hidup ini tidak semudah yang disangka. Ianya diwarnai dengan air mata dan gelak ketawa. Pelbagai jenis ragam manusia yang akan menyebabkan kita ketawa. Dan ada 1001 satu cara juga manusia akan menyebabkan kita mengalirkan air mata kecewa mahupun sedih. Yang pasti kita tak mampu untuk lari daripada musibah-musibah ini. Kita perlu berdepan dan harunginya. Jadi, sentiasalah optimis dengan semua musibah itu dan teruskan perjalanan. Dan jalan yang terbaik adalah dengan bersabar dan tabah dengan apa jua yang berlaku dan kembalikan semuanya kepadaNya. Positifkan diri dan atasi dengan cara positif.

Banyak kelebihannya bila kita sentiasa berfikiran positif (husnuzhan). Antaranya:

>> Badan sihat/ cergas
>> Otak cerdas
>> Mudah dapat ilham
>> Hati dan jiwa bertambah bersih
>> Kejayaan mudah dicapai
>> Hasilnya diberkati Allah
>> Semua orang menyenangi cara kita bekerja
>> Hati semakin kaya

Akhir kata, Setiap kali datangnya sikap pesimis itu, cepat-cepat sisihkan. Ingat kembali kisah Khalid al-Walid di atas dan, JOM! Husnuzhan, Positif dan OPTIMIS!



0 comments:

Post a Comment

Komen anda..