Sunday, October 10, 2010

Fiqah berkaitan Anjing

~salah satu antara mereka adalah anjing~

Berada di luar negara ini, anjing adalah haiwan biasa yang akan kelihatan di mana-mana. Seperti kucing-kucing comel di rumah kita. Seperti lembu dan kambing yang berada di mana-mana di kawasan kampung. Dan di Malaysia sendiri pun banyak je anjing terutama di kawasan kediaman non-muslim. Tapi di sini, mereka semua non-muslim! Kalau di Malaysia ok lagi sebab non-muslim Malaysia faham dengan situasi Muslim yang ada batas-batas syarak berkaitan dengan anjing. Tapi non-muslim di sini golongan yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Jadi, banyak hal yang kita, Muslim perlu diambil tahu tentang anjing. Hanya ingin berkongsi tentang hukum fiqah berkaitan anjing dengan teman-teman samada di luar negara mahupun dalam negara.

Beberapa persoalan yang saya rasa relevan dengan urusan harian kita:

Persoalan 1: Apakah yang harus dilakukan jika kulit badan Muslim atau pakaiannya bersentuhan dengan anjing?

Jawapan Perbahasan:

Menurut hukum kenajisan anjing, mazhab Syafi'i mewajibkan basuhan tujuh kali kepada jilatan anjing. Imam Nawawi berkata:

"Dan ketahuilah bahawa tiada beza di sisi kami antara jilatan anjing dan lainnya daripada komponen-komponennya. Maka apabila mengena oleh kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya dan satu anggota daripada anggotanya akan sesuatu yang suci pada keadaan kelembapan/ basah salah satunya, wajiblah basuhannya tujuh kali, salah satunya dengan tanah....".
(Rujuk Syarah Sahih Muslim, jilid 1, kitab At-Taharah, bab jilatan anjing, hal. 521)



Manakala Mazhab Maliki tidak mewajibkan demikian. Sebaliknya kalau dijilat (air liur) oleh anjing, barulah wajib dibasuh.

Oleh itu kalau sekadar bergesel, tersentuh dan seumpamanya tanpa melibatkan jilatan dan mulut anjing, masayarakat Muslim ada dua pilihan:
1) Mazhab Syafi'i iaitu WAJIB disamak
2) Mazhab Maliki iaitu TIDAK WAJIIB disamak

Walau bagaimanapun, jika badan anjing tersebut basah maka hendaklah dibasuh. Ini kerana kebasahan kulit/ bulu anjing berkemungkinan besar berpunca daripada jilatan anjing kerana anjing memang menjilat tubuhnya.

Dalam suasana hari ini, kebanyakan ulama kontemporari berpendapat bahawa pendapat Mazhab Maliki lebih praktikal. Ini kerana suasana hari ini mneyaksikan hubungan masyarakat Muslim dan non-Muslim makin luas. Masyarakat non-Muslim memelihara anjing. Jika berdasarkan fiqah mazhab Syafi'i sahaja, masyarakat akan menjadi tidak selesa untuk bergaul dengan non-Muslim kerana takut dan khuatir dijilat atau bersentuhan dengan anjing.


Persoalan 2: Jika Muslim berjabat tangan dengan non-Muslim yang baru menggosokkan anjing, adakah wajib disamak tangannya?

Jawapan perbahasan:

Konsepnya masih sama seperti di atas. Jika menurut Mazhab Syafi'i, menyentuh tubuh anjing yang basah atau bendalir daripada badannya mewajibkan samak. Namun Mazhab Maliki tidak mewajibkannya. Namun, ia bukanlah perkara yang wajib(ikut pendapat Mazhab Maliki). Jika nyata cairan itu air liur maka wajib disamak ketika itu.

Maka jika menyentuh tempat seperti berjabat tangan dengan non-Muslim yang baru menyentuh anjing, eloklah dibasuh.

Persoalan 3: Sebuah rumah dibeli atau disewa oleh seorang Muslim. Pemilik sebelumnya ialah seorang non-Muslim yang memelihara anjing di rumah tersebut. Persoalannya, adakah wajib disamak satu rumah?

Jawapan perbahasan:

Persoalan hendaklah difahami berdasarkan kepada beberapa konsep"

1) Keyakinan
Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak atau keraguan. Adakah kita yakin bahawa seluruh rumah tersebut telah dijilat oleh anjing?

2) Tidak nampak
Benda yang berada di luar ilmu dan pengetahuan kita adalah dimaafkan. Kita tidak tahu di mana anjing tersebut berada dan di mana pula tempat yang telah dijilat oleh anjing.

3) Perbezaan pendapat ulama
Wujud perbezaan ulama tentang kenajisan anjing. Maka pilihlah pendapat yang mudah dan sesuai untuk diamalkan.

Berdasarkan konsep ini, tidak salah untuk kita bersihkan rumah. Lagipun memang rumah yang baru nak diduduki perlu dibersihkan bukan? Maka ambillah kesempatan itu untuk membersihkan rumah. Kalau perlu dibasuh tempat-tempat yang mungkin menjadi jilatan anjing, sila kenal pasti berdasarkan ilmu dan juga logik.

Kesimpulan:

Kesepakatan ulama ialah jika tersentuh atau terkena jilatan anjing (mengandungi air liur) maka perlu dibasuh tujuh kali, salah satunya air tanah.

Tetapi jika bergesel dengan bulu anjing (atau apa-apa situasi selain terkena jilatan), boleh ikut Mazhab Syafi'i ataupun Maliki.


rujukan : Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (Mohammad Nidzam Abd. Kadir)

1 comments:

Komen anda..