Tuesday, August 3, 2010

Belajar untuk Bangkit Sendiri



Bila kita rasa tertekan, kita mahu orang pujuk. Bila kita rasa nak menangis, kita kalau boleh mahukan crying shoulder.

Tetapi sama ada kita sedar atau tidak, tiada siapa yang bersama dengan kita dari kalangan manusia ini, sepanjang 24 jam penuh. Ya, cuba pandang sebelah di saat diri memerlukan sokongan, ada tak sesiapa yang hadir memberi kata-kata semangat tepat pada masanya? Sukar bukan untuk berjumpa saat-saat seperti itu. Yang banyaknya dan paling kerap adalah, bersendirian memendam rasa dan cuba mengingatkan diri untuk be strong!

Apa yang dimaksudkan adalah dalam konteks manusia. Ya, tiada siapa boleh nafikan bahawa Allah ada. Tetapi manusia fitrahnya perlukan manusia lain juga untuk menyokongnya. Jika tidak, Allah tidak akan mengajar kita berukhuwwah, Islam tidak akan mendidik kita untuk bersilaturrahim.

Walaupun mungkin kita mempunyai sahabat terbaik, tetap sahabat terbaik itu tidak dapat bersama kita 24 jam penuh.

Jadi macam mana kita nak lalui semua ini seorang diri?


Dari kalangan manusia, yang bersama kita 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan bertahun-tahun dalam sepanjang kehidupan kita, hanyalah kita sahaja.

Maka belajarlah memujuk diri sendiri dan bangkit semula.

Selain Allah, yang paling memahami diri kita adalah kita sendiri sebenarnya.

Jadi, yang pertama sekali kita perlu menyediakan dasar yang kuat.

Bukan mudah hendak memujuk diri sendiri. Perlukan kekuatan dan tenaga yang besar. Hendak menggembleng fikiran dan rohani agar kekal tenang bukan satu perkara semudah 123.

Justeru untuk melatih kita agar berjaya memujuk diri dalam situasi yang menekan, perlu ada dasar yang sangat kuat, agar mampu menampung tekanan dan bebanan yang menimpa kita.

Apakah dasar itu?

Itulah dia keimanan.

Memang, tiada lagi dasar yang lebih utuh daripada dasar ini.

Hanya dengan keimanan sahaja, kita akan berjaya memujuk, merasionalkan, dan menenangkan diri.

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” Surah Ali-Imran ayat 139.

Menangis

Kadangkala, ‘pemujuk’ itu sudah wujud di dalam diri kita. ‘Pemujuk’ yang menyeronokkan, kadang-kadang.

Itulah dia satu makhluk bernama tangisan.

Ya. Menangis. Menangislah. Menangis puas-puas. Lepaskan segalanya.

Hakikatnya, menangis itu sendiri satu pujukan untuk diri. Kita lepaskan bebanan itu dalam bentuk air ibarat membuka empangan yang menahan air.

Tetapi jangan menangis seperti orang biasa. Kita orang beriman adalah manusia luar biasa. Menangislah sambil berfikir. Berfikir akan masalah yang sedang dihadapi, ujian yang sedang ditanggungi. Jika ada apa-apa masalah yang tersimpan di dalam hati, keluarkan semuanya di dalam tangisan yang sedang mengalir.

Biar kita menangis untuk melapangkan jiwa. Bukan tangis kita tangis yang menambah kelemahan. Di samping air mata yang mengalir itu, ambil peluang ini untuk rasa kerdil di hadapan Allah SWT. Rasakan air mata yang tumpah itu, adalah satu bentuk kerendahan kita betapa kita ini manusia dan tak mampu nak tangani ujian ini. Air mata, itu adalah bukti kelemahan kita di hadapan Allah.

Moga-moga dengan terhapusnya ego kita, Allah mendamaikan jiwa, melapangkan hati, dan memberikan kita ketenangan dan jalan keluar kepada masalah kita.

“…kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” Surah Al-Israa’ ayat 107-109.

Nanti apabila air mata kita telah berhenti, kita akan rasa satu kelapangan yang besar.

InsyaAllah, ketika itu kita sudah sedikit tenang dan mula kembali menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah kita.

Muhasabah

Satu lagi cara memujuk hati adalah dengan muhasabah.

Ya. Dengan kita memandang semula apa yang telah kita lakukan sehingga Allah menguji kita sebegini rupa. Kita lihat kembali apakah yang telah kita lakukan.

“Oh, aku masih tak tinggal dosa yang ni. Patutlah Allah tak bagi aku yang ini”

“Oh, aku silap di sini. Patutlah”

“La, memang salah aku rupanya”

“Hem… benda ni boleh diselesaikan macam ni je rupanya. Apa fasal la tak nampak tadi”

Dan begitulah.

Dengan muhasabah, hati akan rasa tenang. Kita akan melihat kembali di mana kesalahan kita. Kita akan dapat menyusun pula rancangan kita yang seterusnya.

Dan orang yang hebat, adalah apabila dia jatuh, dia cepat-cepat naik semula.

Bagaimana dia cepat-cepat naik semula?

Dengan dia mengambil pengajaran atas kejatuhannya = muhasabah.

Jadi, hadapi masalah. Jangan lari.

Justeru pujuklah diri. Kuatkan hati, teguhkan jiwa, tenangkan kalbu. Bangkit semula.

Jangan lari dari masalah. Hadapinya. Langkahinya. Lari tidak menyelesaikan apa-apa.

Dan kemungkinan besar selepas kita bersemuka dengan ujian itu, penyelesaiannya adalah apa yang selama ini kita hajat-hajatkan. Mungkin selepas kita tabah menghadapinya, kita akan bertemu dengan sesuatu yang kita harapkan.

Siapa tahu.

Tetapi yang pasti, Allah tidak akan menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.

Termasuklah ujian.

Mesti ada sesuatu yang Allah hendak berikan, Allah hendak ajarkan, Allah hendak beritahu kepada kita dengan hadirnya ujian itu.

Tinggal kita sahaja tidak memerhatikan.

Maka hadapilah ujian.

Pujuklah diri.

Tenanglah jiwa, damailah hati!


artikal asal di sini

2 comments:

  1. salam..k.ayu..terima kasih untuk artikel ni..it was really helpful for me...lg2 saat2 mcmnih..terima kasih sgt2...

    ReplyDelete
  2. wksalam syaal.... artikal ni best kn? mmg ini jugak yg akk lalui.. I always said to myself, b strong ayu! so, utk syaal, b strong syaal!!! ^_^

    ReplyDelete

Komen anda..