Tuesday, July 27, 2010

Maafkan kakak



Aku merenung ke luar tingkap. Hujan di luar seperti hujan di hatiku. Sedih, duka bercampur menjadi satu. Manik-manik jernih mulai turun membasahi pipi. " Mama..abah, maafkan akak," bisikku sendiri. Tragedi 13 tahun lalu, ku sematkan sebaik mungkin di dalam hati ini. Biarlah aku menanggung kesepian ini sendiri. Semua ini salahku..andai aku tidak memulakan episod itu, pasti ia takkan berlaku...

* * * * *

13 tahun yang lalu.. " Akak, mari makan sayang. Makanan dah siap ni. Kalau sudah sejuk, tak sedap pula," laung mama dari luar kamarku.


Aku tersenyum girang. Itulah yang ku tunggu selama ini. Makanan yang sudah siap terhidang untukku dan keluarga. Sejam aku menghadap buku-buku, akhirnya tiba juga waktu rehat.

" Ye, mama. Akak datang nanti," suara lapan tahunku bernada riang.

Ketika aku melangkah ke ruang dapur, aku terdengar adikku bersorak gembira. Aku semakin hairan,

" Nak makan pun gembira sangat," ujarku kasar. Terdiam adik melihat reaksi aku. Kemudian dia berlari mendapatkan mama yang sedang mengandung.

"Mama masak apa hari ni?," soalku kepada mama lalu membuka tudung saji.

Mama hanya tersenyum." Mama masak laksa hari ni. Hari ini kan ulang tahun kelahiran adik..jadi mama masaklah makanan kegemaran dia," ucap mama sambil mengusap rambut adik dengan penuh kasih sayang.

"Mama, akak kan tak suka laksa. Kenapa mama masak makanan ni? Mama ni, macam tak faham akak kan? ," tiba-tiba, tanpa ku sedari kata-kata itu terucap dibibirku.

"Akak..ni, berkiralah. Setakat laksa, apa salahnya. Jangan cerewet sangat boleh tak?," marah adikku. Hatiku semakin panas mendengar kata-kata adik.

"Akak peduli apa? Akak nak juga makanan lain," keras kataku lalu aku cepat-cepat melangkah dari situ.

Mama dan adik terpinga-pinga melihatku begitu. Mama hanya mampu menggeleng, begitu sedih hatinya melihat anak yang dikandung 9 bulan lebih memilih makanan dari penat lelahnya.

-------------------------------------------------------

Aku mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja. Cepat saja jari-jemariku mendail nombor itu. Tet, tet. Tet, tet..

"Assalammualaikum, ni siapa?," soal suara ditalian.

"Abah, ni kakak," pantas saja aku menjawab. Tidak sabar menyatakan hasrat dihati.

"Ye, kak? Kakak nak apa telefon abah ni?," tanya abah lembut.

"Abah, akak lapar ni. Abah belikan makanan ye?," pujukku dengan nada minta dikasihani.

"Mama tak masak ke?," tanya abah kembali.

"Masak, tapi tak sedap. Akak tak sukalah makan laksa. Akak bukannya adik," jelasku dengan kasar.

"Ah..jangan nak mengada. Mama dah masak tu, makan sajalah. Kesian tau kalau akak tak makan apa yang mama dah masak. Kecil hati mama nanti," pujuk abah untuk menenangkanku.

"Abah ni..sama dengan mama. Langsung tak faham kehendak kakak!" aku terus mematikan talian dengan perasaan bengang.

"Sama je semua orang. Asyik fikir kehendak sendiri, kehendak aku siapa nak fikir? Tapi aku laparlah, kalau gastrik, susah ni," hatiku berbicara sendiri. Di saat itu, aku lebih memilih untuk mengunci pintu dan tidak mahu makan sehingga kehendakku ditunaikan. Sakit hati rasanya bila kehendak hati tidak ditunaikan.

-------------------------------------------------------

"Abang, macam mana ni? Akak tak makan lagi ni. Dia tak keluar dari bilik langsung. Abang, saya takutlah dia pengsan ke, gastrik ke," mama menunjukkan rasa risaunya kepada abah.

"Hish, awak ni. Tak ada apalah. Dia cuma merajuk je tu. Budak kecil memang macam tu," abah cuba memujuk mama walaupun abah sendiri khuatir dengan keadaan aku.

"Abang, apa kata kita pujuk dia lepas tu bawa dia pergi fast food. Jomlah bang," pujuk mama kembali. Abah hanya menggeleng.

"Iyalah..kita pujuk dia sama-sama, lepas tu bawa dia pergi fast food, okey?," akhirnya abah mengalah juga.

-------------------------------------------------------

Aku menguntum senyuman apabila berdiri di dalam restoran terkenal itu. Berjaya juga helahku.

"Akak nak beli apa?," tanya abah lembut. Aku lantas menyembunyikan senyumanku itu. Takut disedari oleh abah.

"Akak nak beli ayam goreng..lepas tu kentang putar , ehmm..apalagi ye? Haa..akak nak beli aiskrim coklat dengan chesee burger," pintaku tanpa memperdulikan abah.

Bagiku yang penting, apa yang ku hajati tercapai. Apalagi adik tidak ada untuk menggangguku. Sebelum pergi tadi, aku memujuk mama supaya meninggalkan adik di rumah untuk dijaga oleh nenek kerana adik sedang tidur. Abah dan mama saling berpandangan, akhirnya abah mengangguk tanda setuju.

-------------------------------------------------------

"Akak dah puas hati?," tanya abah setelah kami sekeluarga berada di dalam kereta.

"Sebenarnya, akak nak beli lagi..tapi cukuplah ni je," kataku acuh tak acuh.

Langsung tidak ada sedikit pun ucapan terima kasih yang meniti dibibirku. Mama terdiam. Dia tidak tahu ingin berkata apalagi.

"Abang, nanti singgah kedai bunga tu ye. Saya nak beli baja sikit," kata mama setelah abah menghidupkan enjin kereta.

"Okey..nanti.." belum sempat pun abah menghabiskan ayatnya aku mencelah.

"Tak boleh, akak dah lapar ni. Nanti gastrik siapa susah. Ma, kita pergi lain kali ye?." Mama tersentak mendengar kata-kata aku.

"Ye lah, kita tak payah pergi kedai tu. Kita terus balik rumah," balas mama.

Dia tidak mahu aku merajuk seperti tadi, kerana kasih sayangnya dia sanggup mengetepikan kehendak dirinya demi aku. Aku mengukir senyuman paling manis di dunia. Tidak sabar rasanya ingin ku nikmati kelazatan fast food ini. Hanya kerana fast food, aku sanggup mengecewakan hati mama.

"Abah, pinjam telefon bimbit boleh tak? Akak bosanlah. Akak nak main game," pujuk aku.

"Nah..." Tiba-tiba telefon itu jatuh dari tangan abah.

"Abah, telefon tu jatuhlah kat bawah kaki abah," ucapku dengan harapan abah mengambilnya. Abah hanya mendiamkan diri tanpa memberi respon.

"Abah..cepatlah. Akak nak main game ni," marahku kepada abah.

"Abah sedang memandu kereta, bahayalah sayang. Akak main dekat rumah ye," pujuk mama.

"Akak nak main sekarang!," aku membentak.

Abah membongkokkan sedikit badannya untuk mencapai telefon bimbit yang berada dikakinya.

"Susahlah," kata abah.

"Abang, tak payahlah. Jangan dilayan sangat akak ni," kata mama apabila melihat abah sedaya upaya abah cuba mendapatkannya Aku memuncungkan bibir apabila mama berkata begitu.

"Tak apelah, akak merajuk lagi nanti, " balas abah pula.

Tiba-tiba.... " TON!! TON!!!"

" Abang, ada lori depan tu!!!!," jerit mama apabila melihat sebuah lori kontena dari arah bertentangan sedang membelok ke simpang di hadapan kereta abah. Tapi semuanya sudah terlambat, abah tidak sempat menekan brek kereta.

* * * * *

"Akak, kenapa menangis ni?." kehadiran adik membuatkan aku tersedar daripada lamunan.

"Adik..," ucapku perlahan. Adik menyapu perlahan air mata yang mengalir dipipiku ini.

"Akak teringat arwah mama dengan abah ke?," duga adik. Aku mengangguk perlahan.

"Akak, sabarlah. Apa yang terjadi ada hikmah disebaliknya. Tiada siapa yang bersalah dan tiada siapa yang dipersalahkan. ALLAH sayangkan mereka. Mungkin dengan pemergian mereka kita lebih pandai berdikari dan lebih pandai menghargai seseorang itu selagi dia masih ada di dunia ini." Air mataku mengalir lebih deras tanda terharu mendengar kata-kata adik.

Adik yang dulu aku jauhi, kini dialah yang memberikanku semangat agar aku terus kuat berdiri tabah mengharungi dugaan hidup.

"Akak, kita doakan agar arwah abah dengan mama tenang di sana ye?," pinta adik.

"Amin," aminku di dalam hati. Abah, mama. Akak minta maaf di atas segala kesalahan akak pada abah dan mama. Akak tidak mampu mengubah segalanya. Kalau akak tahu apa yang bakal terjadi, akak tidak akan berbuat begitu sama sekali. Tetapi, siapalah akak. Akak berdoa supaya Maha Esa menempatkan abah dan mama ditempat hamba-Nya yang beriman. Amin.

artikal asal di sini

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..