Thursday, April 1, 2010

Menyimpan dengan Matlamat



Secara teknikal dan menurut kajian yang telah dibuat, duit yang disimpan tanpa sebab yang kukuh mudah dipengaruhi oleh anasir negatif seperti penipuan, pelaburan yang merugikan, kegagalan dalam bisnes, kecurian dan lain-lain bencana.

Fenomena ini sama seperti kehidupan seorang manusia. Jika seseorang individu itu tidak tahu sebab atau ‘purpose’ dia hadir kedunia ini, kehidupannya akan mudah terpengaruh dengan gejala negatif. Individu begini biasanya kita kategorikan sebagai tidak mempunyai hala tuju kehidupan. Baiklah, saya ingin kongsikan dengan pembaca cara orang-orang kaya yang berjaya mengagihkan simpanan mereka dan meletakkan sebab yang kukuh untuk simpanan tersebut.

Samada kita inginkan kekayaan, inginkan kejayaan, inginkan kesihatan, atau apa sahaja keinginan kita, ia mesti jelas. Kalau inginkan kekayaan, kita mesti tahu berapa banyak jumlah kekayaan yang kita inginkan, RM1000, RM10,000, RM100,000 atau lebih. Kalau kejayaan menjadi matlamat, ia juga mesti jelas. Berjaya macam mana? Inginkan kenaikan pangkat daripada kerani kepada eksekutif, atau daripada ‘manager’ ke ‘senior manager’, atau ingin mendapatkan ijazah kepujian, atau master atau apa sahaja. Semua kehendak itu mesti jelas. Apabila kemahuan kita jelas, minda sedar akan menghantar isyarat kepada minda separa sedar untuk melaksanakan tindakannya. Begitu juga dengan simpanan, sebab menyimpan itu mesti jelas agar ia tidak hilang begitu sahaja.

Semua orang kaya di dunia ini mempunyai sebab yang cukup kukuh dengan simpanan yang mereka ada. Mereka membahagi-bahagikan simpanan mereka kepada beberapa bahagian untuk digunakan mengikut keperluan yang tertentu. Di sini saya kongsikan pecahan asas yang digunakan oleh mereka dalam menjana lebih banyak lagi kekayaan. Simpanan mereka dibahagikan kepada 5 bahagian utama. Anda boleh menukar keperluan tabungan mengikut kehendak anda. 10% untuk tabung pemberian (sedekah), 10% untuk tabung ilmu, 10% untuk pelaburan jangka pendek, 10% untuk jangka panjang dan 60% untuk keperluan semasa.

Kita boleh mulakan dengan kadar yang paling minima iaitu RM10.00 sehari atau seminggu atau sebulan, terpulang. Secara asasnya, simpanan tersebut dibahagikan kepada 5 buah tabung tidak kira apa pun jenis tabungnya. Pembahagian tabungan tersebut adalah seperti berikut:

10% – Tabungan Pemberian (sedekah) - RM1.00

10% -Simpanan Jangka Pendek – RM1.00

10% – Simpanan Jangka Panjang - RM1.00

10% -Tujuan Menuntut Ilmu - RM1.00

60% – Keperluan Tahunan - RM6.00

Tabung sedekah digunakan untuk membeli hadiah atau apa sahaja atas tujuan pemberian. Percayalah lebih banyak kita memberi lebih banyak yang kita akan dapat
Simpanan jangka pendek pula digunakan untuk menggandakan simpanan, misalnya melabur di saham amanah.
Simpanan jangka panjang lebih kepada penjanaan pendapatan pasif (passive income), contohnya simpanan ini digunakan untuk membeli tanah dan membuat rumah sewa, atau membeli rumah kedai yang telah siap untuk disewakan, atau apa sahaja yang boleh menjana pendapatan pasif.
Tabung ilmu digunakan untuk membayar yuran seminar atau membeli buku yang berkaitan dengan ilmu kewangan atau pembangunan diri.
Manakala keperluan tahunan pula untuk membayar segala cukai-cukai tahunan, pembiayaan yuran pengajian anak-anak, membayar duit pendahuluan rumah/kereta dan mungkin untuk membeli buku persekolahan anak-anak.

Mari kita lihat dengan kadar RM10.00 sehari sahaja, dihujung bulan tanpa anda sedari simpanan anda telah menjadi RM300.00. Fikirlah telah berapa banyak RM10.00 yang anda bazirkan tanpa tujuan. Hanya dengan kesedaran menyimpan sebanyak RM10.00 sehari, anda mampu memiliki simpanan RM3650.00 setahun. Percayalah, simpanan yang mempunyai sebab yang kukuh akan berkat dan bertambah tanpa anda sedari. Anda boleh gandakan simpanan bila ada kemampuan.

petikan dari blog evolusiminda.com


.......hari ini hari merancang penyimpanan kewangan yang lebih terancang.....

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..