Friday, December 18, 2009

Langit Ilahi, by Hilal Asyraf



Buku ini adalah terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Ianya merupakan buku tarbiyah
rohani yang mengusik iman insan yang terbuka pintu hatinya. Dan kalau dalam
buku ini Hilal menggunakan perkataan qalb untuk hati. Qalb yang
berbolak-balik. Sememangnya hati kita sentiasa berbolak-balik. Jadi amat wajar
sekali kita mengisi rohani kita dengan ilmu mengenal Allah agar diri lebih
mempercayaiNya dan seterusnya menyayangiNya sepanjang hayat yang sementara ini.

Langit Ilahi ini telah ditulis oleh Hilal dengan baik sekali dan bagaikan
ditulis oleh seorang insan yang berpengalaman. Namun, Muhammad Hilal Asyraf
bin Abd Razak ini masih muda sebenarnya. Pada tahun 2009, usianya barulah 20
tahun. Tetapi ilmu dan pengalaman yang dikongsi jauh lebih matang dari usianya.


Langit Ilahi ini bertemakan Tuhan tidak lupakan kita. Betul ke? Secara
peribadi, sebenarnya tidak mudah untuk kita mempercayai hakikat itu.
Jadi, tidak hairanlah jika kita selalu alpa padaNya. Mudah sangat berputus asa
dengan ujianNya yang tidak seberapa. Mudah sangat tergoda dengan nafsu
ajakan syaitan. Langsung tidak sedikit pun sedar Allah sedang memerhatikan
kita dan TIDAK LUPAKAN KITA.

Jadikan hidup kita seluruhnya sebagai ibadah. Sempurnakan ibadah-ibadah
khusus seperti solat 5 waktu, puasa, zakat, membaca Al-Quran, berzikir
dan sebaginya. Di samping itu jadikan aktiviti seharian yang lain juga sebagai
ibadah. Asalkan memenuhi 2 syarat ini;
1. niatnya baik dan
2. perkara itu baik di sisi syarak.

Antara perkara penting yang turut disentuh Hilal dalam buku ini juga adalah
soal HATI. Dalam hal ini, hati yang dimaksudkan lebih tepat didefinisikan
dengan perkataan qalb. Qalb terdiri daripada 3 tahap:
1. Qalb hidup
2. Qalb sakit
3. Qalb mati
Sama-samalah menjaga hati agar ianya tidak menjadi hati yang sakit agar
kita dapat mnegecapi kemanisan ibadah yang kita lakukan. Jadi, seandainya
kita merasakan kita tidak dapat merasai kemanisan ibadah yang kita lakukan
ada baiknya jika kita memeriksa kembali hati kita dengan muhasabah dan
banyakkan berfikir dengan hati yang terbuka. Pastinya hati kita sedang
sakit dan memerlukan ubat ketenangan yang hanya boleh didapati
dengan selalu berjumpa doktor sekalian doktor. Selalulah ingatiNya dan
berusahalah mencari keredhaanNya.

Tidak dinafikan dalam meniti hari-hari yang penuh dengan pancaroba dan
dugaan, kadang-kadang kita dihimpit kegelisahan. Selalunya tanpa disedari
juga kegelisahan berpunca dari diri kita sendiri sebenarnya. Apa kata kita pergi
ke tempat-tempat yang menenangkan jiwa, duduk bersama dengan orang yang baik
dan melaksanakan ibadah pada penghujung malam. Dan yang saya selalu amalkan,
carilah ilmu, bacalah dan cuba amalkan. Carilah ilmu mengenal Allah
walaupun kita sibuk dalam mencari ilmu mengejar kejayaan dunia yang
sebenarnya lebih kepada 'paksarela'.

Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi mukmin yang memiliki 10 sifat
peribadi unggul ini.
1.Akidah yang sejahtera
2.Ibadah yang sahih
3.Akhlak yang mantap
4.Luas pengetahuan
5.Sihat badan
6.Mampu berdikari
7.Melawan nafsu
8.Sangat menjaga masa
9.Tersusun urusannya
10.Bermanfaat kepada orang lain

Sebenarnya banyak sangat ilmu yang boleh diambil dan diamalkan dari buku
Langit Ilahi hasil tulisan Hilal Asyraf ini. Sememangnya menjadi satu
peringatan penting dalam menjalani hidup sebagai seorang hamba. Kadang-kadang
diri ini selalu terlupa dan alpa. Namun, Alhamdulillah Allah bukakkan pintu
hati untuk memilih buku ini walau ada buku lain yang menjanjikan
pengisian yang padat juga. Yang pasti jiwa ini, rohani ini, hati ini,
akal ini, qalbu ini dan insan hina ini memerlukan pengisian. Pengisian
rohani. 'Food for soul'.

Akan kucuba mengenaliNya dengan lebih lanjut agar cinta ini hanya tertumpah
pada yang hak, Pencipa ku, Ya Ilahi. Moga diri ini kuat untuk bermujahadah
di jalanMu Ya Allah.


0 comments:

Post a Comment

Komen anda..