Saturday, December 19, 2009

Cemerlang dengan Ilmu serta Hikmat



" Allah menganugerahkan hikmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa
yang dianugerahinya hikmah dia benar-benar dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran."
Al-Baqarah, 269


Dalam buku karangan Dr. Danial Zainal Abidin, beliau mengumpamakan ilmu
dan hikmat bagaikan manis dan gula yang tidak dapat diasingkan.
Hikmat menjurus kepada aspek iman dan agama. Manakala ilmu pula menjurus
pada aspek agama dan yang lain-lainnya secara am.


Kategori Ilmu yang perlu dikuasai:

Apakah yang dimaksudkan dengan hikmat?

Terdapat 1 hadis Nabi Muhammad SAW mengenai hikmat. Dan Syeikh Said Hawa
berkata dalam al-Asas fit Tafsir , maksud hikmat dalam hadis
tersebut adalah kefahaman tentang kitab Quran dan sunah serta kefahaman
agama.


Bagaimana pula dengan ilmu?

Ilmu yang dituntut dalam Islam terbahagi kepada 2 bahagian iaitu ilmu
fardu ain dan ilmu fardu kifayah.

Imam Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain merupakan ilmu yang wajib
dituntut oleh setiap hamba Allah. Ilmu fardu ain yang wajib dituntut ini
antaranya adalah ilmu akidah bagi memantapkan iman, tasawuf bagi membersihkan
hati serta akhlak dan fikah bagi mengetahui perkara yang wajib dan haram
bagi seorang Muslim.

Manakala ilmu fardu kifayah pula adalah ilmu yang wajib dikuasai oleh umat
Islam dalam bidang-bidang yang diperlukan. Namun, tidak semua Muslim dan
Muslimah perlu menceburi bidang-bidang ini. Apabila sebahagian daripada umat
Islam sudah menguasainya, masyarakat secara amnya terlepas daripada dosa dan
bebanan.

Imam Ghazali membahagikan ilmu-ilmu fardu kifayah kepada 2 bahagian. Pertama,
ilmu syariat dan kedua ilmu bukan syariat. Contoh ilmu syariat yang fardu
kifayah adalah ilmu tafsir Quran, mustalah hadis, ilmu qiraah dan seumpamanya.
Manakala contoh ilmu kifayah yang bukan syariat adalah ilmu perubatan,
matematik dan persenjataan.

Sebagai peringatan untuk diri sendiri jua, ilmu yang paling mulia adalah
ilmu tentang Allah dan keagunganNya.


Rujukan: Tip-tip Cemerlang daripada Quran, Dr. Danial Zainal Abidin

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..