Sunday, December 27, 2009

Adab Berusaha dan Mencari Kehidupan:Perniagaan



Hari ini, Bab 9 : Cemerlang Berlandaskan Syariat di dalam buku Dr. Danial Zainal Abidin menarik minat saya. Beliau menerangkan tentang pentingnya syariat sebagai panduan dalam amalan serta aktiviti seharian di dunia ini. Beliau mengkiaskan syariat sebagai rel kereta api. Tanpanya, kereta api tidak
akan sampai ke destinasi.


Antara perenggan yang menarik hati saya adalah mengenai kitab Ihya Ulumuddin, karangan Imam Ghazali dalam bab Adab Berusaha dan Mencari kehidupan.Dan contoh yang diambil adalah mengenai hal perniagaan.

Apakah ciri-ciri yang ada pada seorang peniaga yang mementingkan syariat?


Pertama, membaikkan niat dan akidah pada peringkat awal perniagaan. Peniaga
hendaklah berniat, penglibatannya dalam perniagaan adalah untuk memelihara
dirinya daripada meminta-minta serta membantunya melaksanakan tuntutan agama.
Dia juga perlu berniat penglibatannya untuk keperluan keluarga, perlu
menegakkan keadilan dan berlaku ihsan dalam muamalat.

Kedua, peniaga perlu memastikan tujuannya berusaha adalah bagi menegakkan
salah satu daripada tuntutan fardu kifayah. Apabila mampu, dia perlu menjauhi
bidang perniagaan yang menfokuskan pada pembuatan barang-barang perhiasan
dunia yang tidak menguntungkan agama.

Ketiga, peniaga juga perlu memastikan aktiviti dunianya tidak menjadi
penghalang aktiviti akhiratnya. Orang-orang salih terdahulu menjadikan
permulaan serta penghabisan masa siang mereka untuk aktiviti akhirat dengan
melaksanakan ibadah-ibadah khusus dan menjadikan pertengahan waktu siang
mereka untuk aktiviti perniagaan.

Keempat, peniaga juga perlu memastikan zikir kepada Allah tidak dilupakan
di tempat kerja. Peganglah kata-kata Imam Hasan, "Orang-orang yang berzikir
kepada Allah di pasar-pasar akan datang kepada Allah pada hari kiamat dalam
keadaan bercahaya."

Kelima, peniaga juga perlu memastikan diri tidak tenggelam dalam perniagaan.
Dengarlah nasihat Abdullah bin Amr bin As, "Janganlah kamu menjadi orang
yang pertama memasuki pasar dan orang yang terakhir keluar darinya."
Maksudnya, janganlah menjadi workaholic sehingga lupa
tanggungjawab lain.

Keenam, peniaga juga perlu memastikan dia bukan sahaja menjauhi perkara-
perkara haram sahaja tetapi turut berhati-hati mengenai perkara-perkara
syubhah dan yang meragukan.

Ketujuh, peniaga juga perlu memastikan dia sentiasa mengawasi diri sendiri
daripada mengawasi orang lain. Hendaklah dia menghitung amalan dirinya,
menyelidiki niatnya serta menghalusi setiap perbuatan dan perkataannya.

Hanya sebagai perkongsian dan untuk ingatan diri sendiri jua. Manalah tahu
suatu hari nanti diri ini mampu menjadi seorang ahli perniagaan.... :)
Tidak kira bisnes besar atau kecil, yang penting berlandaskan syariat.
Lagipun tiada salahnya menjadi ahli perniagaan. Bukankah 9 per 10
punca rezeki daripada perniagaan?.... :p

THINK BIG, AIM FOR THE SKY.... ^_^

0 comments:

Post a Comment

Komen anda..